Search This Blog

Sunday, July 20, 2014

Rammasun landa China, lapan terkorban


OMBAK besar dibawa Taufan Rammasun, menghempas beberapa buah bot dan boleh mendatangkan ancaman banjir ke jalan raya berhampiran di Haikou, wilayah Hainan, selatan China, kelmarin. - REUTERS
BEIJING 19 Julai - Taufan Rammasun terus mengganas apabila meragut nyawa lapan orang di selatan China semalam, menurut laporan media tempatan hari ini selepas bencana itu mengakibatkan 77 orang maut di Filipina.
Taufan terkuat melanda China dalam tempoh 41 tahun itu, tiba di wilayah Hainan, semalam sebelum membadai tanah besar semalam dan hari ini, lapor agensi berita Xinhua.
Rammasun diramal membawa hujan lebat hari ini dan esok sebelum menuju ke barat daya China dan ke utara Vietnam.
Taufan tersebut melanda beberapa bandar di wilayah Guangxi, Guangdong dan Hainan yang menyebabkan pokok-pokok tumbang serta bekalan elektrik terputus akibat angin kuat selaju 150 kilometer sejam.
Rammasun turut menjejaskan perkhidmatan penerbangan domestik dan antarabangsa di Lapangan Terbang Nanning Wuxu di Nanning, mengakibatkan kira-kira 1,300 penumpang terkandas.
Di Filipina, Rammasun membadai Manila serta selatan Pulau Luzon termasuk daerah Bicol yang menyebabkan bekalan elektrik terputus selama empat hari.
Kemusnahan akibat taufan di negara itu dianggar bernilai AS$136 juta (RM433 juta) yang melibatkan kawasan pertanian, infrastruktur, jalan raya dan jambatan.
Dalam pada itu, biro cuaca melaporkan, Filipina akan mengalami Ribut Matmo yang membawa hujan lebat di bahagian timur negara ini dengan angin selaju 95 kilometer sejam sehingga 120 kilometer sejam, namun ribut diramal tidak akan sampai ke bahagian darat negara ini.
Rammasun melanda Filipina ketika negara kepulauan ini masih dalam proses baik pulih daripada taufan besar Haiyan yang menyebabkan lebih 6,200 nyawa terkorban dan empat juta penduduk berpindah, November lalu. - REUTERS/dpa


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140720/lu_06/Rammasun-landa-China-lapan-terkorban#ixzz37y02rI12
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment