Search This Blog

Tuesday, July 15, 2014

Polis tahan Geng 36 edar dadah


KUANTAN 14 Julai - Polis berjaya menahan seorang ahli kongsi gelap Geng 36 yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah ini selepas menyerbu sebuah rumah di Batu 11, Jalan Gambang-Kuantan di sini kelmarin.
Suspek berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek menemui satu peket lutsinar yang berisi 98 gram dadah jenis heroin bernilai RM2,500.
"Hasil siasatan lanjut mendapati suspek dikehendaki polis dalam empat kes jenayah kekerasan di Selangor iaitu melibatkan kes bunuh di Batang Berjuntai, kes cubaan bunuh di Kapar serta kes samun bersenjata dan mendatangkan kecederaan di Klang.
"Selain itu, suspek juga mempunyai empat kesalahan lampau iaitu pernah ditahan di Simpang Renggam, dua kes samun dan kes mendatangkan kecede­raan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek juga mengaku dia merupakan ahli kongsi gelap Geng 36 dan telah menetap di Kuantan sejak lima bulan lalu.
"Suspek juga dipercayai bergiat aktif di Selangor dan telah berhijrah ke negeri ini selepas diburu oleh pihak polis di sana. Kita percaya suspek cuba untuk bertapak di sini bagi menjalankan aktiviti pengedaran dadah," katanya.
Abdul Aziz berkata, lelaki tersebut yang mempunyai empat orang anak itu kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 19 Julai ini untuk siasatan lanjut.
"Selepas siasatan selesai kita akan rujuk suspek ke polis Selangor untuk tindakan lanjut. Kes pengedaran dadah ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140715/je_02/Polis-tahan-Geng-36-edar-dadah#ixzz37UE0EyOi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment