Search This Blog

Wednesday, July 30, 2014

Polis tahan 532 PATI



ABDUL Samah Mat (kanan) menyerahkan kuih raya kepada salah seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas sempena Aidilfitri ketika mengadakan lawatan di Morib, baru-baru ini.
KUALA LANGAT 29 Julai - Polis Selangor berjaya menahan sebanyak 532 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia yang cuba menyusup keluar dari negara ini menggunakan la­luan tidak diwartakan sejak Januari hingga 15 Julai lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 435 orang adalah lelaki dewasa, 88 wanita, lima kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan.
Menurutnya, dua tekong darat warga negara tempatan berusia 25 dan 40 tahun juga berjaya diberkas dalam tempoh sama dengan salah seorang daripadanya sudah dihadapkan ke mahkamah.
"Ops Nyah Satu akan diteruskan dan dipertingkatkan terutama pada musim perayaan ini yang dijangkakan lebih ramai PATI khususnya warga Indonesia akan menggunakan jalan yang tidak diwartakan.
"Setakat ini seramai 106 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) sudah ditempatkan di 23 pangkalan sepanjang 337 kilometer perairan Selangor bagi membuat pemantauan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kuih raya kepada anggota PGA di Pantai Morib di sini.
Abdul Samah menambah, rondaan dan pemantauan akan dilakukan 24 jam kerana semua anggota PGA ditempatkan secara tetap di semua pangkalan yang merentasi enam daerah di negeri ini.
"Selain itu, risikan dan pemantauan juga akan diperhebatkan bagi memastikan tiada yang boleh bolos daripada perairan kita tidak kira mereka mahu keluar atau masuk," tegasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140730/je_02/Polis-tahan-532-PATI#ixzz38tkkA7fN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment