Search This Blog

Monday, July 21, 2014

Pesakit hospital Gaza melimpah

Pesakit hospital Gaza melimpah
Pakar perubatan Aman Palestin Malaysia berkumpul sebelum menaiki bas untuk melepasi pusat pemeriksaan tentera Mesir kali kedua bagi memasuki Gaza melalui pintu Rafah, semalam. - Foto Ismail Mat 
Selepas hampir dua minggu Israel menyerang Gaza, keadaan di wilayah itu semakin meruncing dengan hospital dipenuhi penduduk yang menjadi mangsa serangan rejim Zionis.

Pengarah Media Aman Palestin Malaysia, Anas Abdul Wahab, berkata keadaan di Gaza semakin tenat dan terlalu sukar untuk digambarkan.

Katanya, pihak berkuasa di Gaza juga meminta Kerajaan Mesir membenarkan ambulans dari negara itu mengambil pesakit yang sudah melimpah di hospital dan sempadan.

“Keadaan tidak dapat digambarkan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang mengumpulkan semua rakyat asing untuk keluar dari Gaza,” katanya.

Sementara itu, riak wajah kekecewaan menyelubungi wajah setiap anggota misi perubatan kecemasan dari Malaysia dan Kesatuan Eropah apabila dihalang kali ketiga daripada memasuki Gaza menerusi sempadan Rafah, semalam.

Selepas lebih sejam menunggu semakan pasport di sekatan pemeriksaan tentera Mesir berdekatan Gerbang Al Arish, mereka diarah berpatah balik ke Kaherah dengan alasan pintu sempadan ditutup.

Mereka mencuba sekali lagi untuk kali ketiga, tetapi pihak berkuasa Mesir tetap tidak membenarkannya dengan memberi alasan keadaan di sebelah Rafah terlalu bahaya untuk dimasuki.
Walaupun wakil rombongan merayu agar dibenarkan meneruskan perjalanan, pihak berkuasa Mesir enggan bertolak ansur yang menyebabkan seluruh misi berpatah balik ke Kaherah.

Pakar bedah dari Jordan, Dr Wasfi Ijarah, melahirkan rasa kesal dengan sikap pihak berkuasa Mesir yang disifatkannya sebagai tidak bersimpati dengan penderitaan rakyat Palestin.

Mesir lebih kejam 

“Mesir bukan setakat enggan membantu rakyat Palestin yang terperangkap di Gaza, malah lebih kejam apabila turut menghalang negara Islam lain daripada membantu rakyat Palestin.

“Walaupun berdepan kesukaran, saya tidak berputus asa untuk memasuki Gaza demi berbakti kepada tanah air kelahiran keluarga saya,” katanya sambil memaklumkan ibu bapanya terpaksa berhijrah ke Jordan sejak tahun 1948.

Pakar bius dari Hospital Columbia Setapak, Dr Hasbe Zuraina Abu Bakar, turut melahirkan kekecewaan kerana belum berpeluang memasuki Gaza selepas dua hari mencubanya.

“Saya kecewa kerana hasrat membantu mangsa peperangan terhalang,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Anak kelahiran Gaza, Dr Ramy Girshally dari Jerman, berharap dapat memasuki Gaza untuk membantu rakyat yang menjadi mangsa peperangan.

“Walaupun dihalang, saya tidak akan berputus asa daripada terus berusaha masuk dan tidak akan pulang sepanjang tempoh lima minggu bercuti ini,” katanya yang berhijrah ke Jerman sejak 19 tahun lalu.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyuarakan kebimbangan berhubung keganasan di Gaza dan menyatakan ia sudah meragut nyawa lebih banyak kanak-kanak serta perkhidmatan asas untuk kanak-kanak turut diserang.

Sekurang-kurangnya 59 kanak-kanak terbunuh dan 500 lagi cedera di Gaza, dan empat kanak-kanak Israel cedera di Israel, kata agensi itu dalam kenyataan dikeluarkan di New York.

“Lebih 1,780 keluarga di Gaza telah menyaksikan rumah mereka dimusnahkan dan ribuan orang lagi kehilangan tempat tinggal dan lebih 80 sekolah rosak akibat serangan itu,” kata UNICEF.

No comments:

Post a Comment