• Makalsom menunjukkan bilik tidurnya yang hangus.Makalsom menunjukkan bilik tidurnya yang hangus.

GUA MUSANG - Persiapan sebuah keluarga untuk menyambut Aidilfitri beberapa hari lagi lebur apabila rumah papan didiami mereka di Kampung Panggong Lalat, dekat sini, terbakar, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, turut musnah ialah empat motosikal, sebuah kereta dan wang tunai RM5,000 yang disimpan dalam sebuah bilik tidur, hasil bayaran gaji pekerja balak, Ahad lalu.

Makalsom Abdullah, 51, berkata, ketika kejadian dia sedang menoreh getah di Kampung Lebur Jaya, tidak jauh dari rumahnya, manakala suaminya, Harif Abdullah, 59, bekerja balak di kawasan hutan dekat Pos Blau.

Menurutnya, hanya tiga cucu yang masih kecil berusia 2 hingga 4 tahun bersama seorang anak saudara, Yati Mail, 19, yang baru datang kelmarin untuk menyambut Aidilfitri berada di rumah tersebut.

"Saya menerima panggilan telefon daripada anak saudara kira-kira jam 9.40 pagi memaklumkan rumah terbakar dan ketika saya tiba, api marak membakar keseluruhan rumah.

"Namun saya bersyukur kerana anak saudara saya pantas menyelamatkan tiga cucu saya, jika tidak mungkin keadaan akan lebih teruk," katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Che Rusli Che Sulaiman ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kebakaran itu jam 9.46 pagi.

Menurutnya, sebuah jentera dengan lapan anggota diketuai Ketua Operasi, Azman Dollah segera ke lokasi kejadian.

"Kebakaran berjaya dipadamkan dalam masa 15 minit dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.