Search This Blog

Thursday, July 31, 2014

Persiapan kahwin jadi abu


“Ini dugaan berganda bukan saja untuk saya, tetapi untuk ahli keluarga yang lain kerana kami kini tinggal sehelai sepinggang kerana tidak dapat menyelamatkan apa-apa barang kecuali kereta Proton Putra milik abang,” kata Sharnizad Rahmat, 31.
Kebakaran jam 3.15 petang kelmarin menyebabkan rumah keluarganya di Felda Bukit Cherakah, di sini, musnah, pada hari kedua umat Islam menyambut hari lebaran dan menyebabkan kerugian lebih RM100,000.
Menurutnya, beliau sekeluarga meninggalkan rumah berkenaan jam 2.15 petang kerana membawa ibunya Rohaniyah Ab Samad, 67, ke Hospital Sungai Buloh (HSB) bagi mendapatkan rawatan bengkak kaki.
Katanya, jam 3.25 petang ketika menunggu ibunya menerima rawatan, beliau menerima panggilan daripada seorang jiran yang memaklumkan rumahnya terbakar dan api marak membakar struktur rumah.
“Sebaik menerima panggilan itu, saya dan seorang lagi abang bergegas pulang ke rumah dan dalam keadaan yang cemas saya hanya fikir untuk menyelamatkan rumah dan barang serta dokumen yang disimpan.
“Sebaik tiba, saya lihat api sudah marak membakar keseluruhan rumah dan saya tidak dapat menyelamatkan apa-apa termasuk tiga buah motosikal di dalam rumah,” katanya, semalam.
Beliau berkata, mereka sekeluarga kini tinggal sementara waktu di rumah mentua abangnya yang terletak berhampiran sebelum berpindah ke bangunan tahfiz bersebelahan Masjid Felda Bukit Cherakah.
Katanya, beliau bersyukur kerana ketika kejadian rumahnya tidak berpenghuni kerana ia mungkin akan menyebabkan kehilangan nyawa selain berterima kasih kepada ahli keluarga dan jiran yang menghulurkan bantuan seperti pakaian.
Sementara itu, Komander Operasi Penguasa Kanan Bomba II Rosdi Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.20 petang sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik dan Bestari Jaya dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurutnya, api dapat dikawal jam 4 petang sebelum dipadamkan sepenuhnya jam 5.28 petang dengan kekuatan 12 pegawai termasuk anggota.
Foto

“Sehingga kini bomba masih menyiasat punca kebakaran dan pasukan forensik kebakaran juga sudah dihantar untuk menjalankan siasatan di lokasi kejadian,” katanya.
Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

No comments:

Post a Comment