Search This Blog

Sunday, July 6, 2014

Penyamun tikam pemandu teksi hingga mati diberkas


KUALA LUMPUR 5 Julai - Tindakan pantas polis berjaya menahan seorang penyamun sejurus selepas suspek menikam seorang pemandu teksi sehingga mati berhampiran sebuah hotel di Jalan Pudu Ulu Cheras, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa yang berusia 63 tahun dilihat oleh orang awam bergelut dengan suspek berusia 39 tahun berhampiran kenderaannya lalu menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebelum menahan suspek yang ketika itu cuba melarikan diri dengan kenderaan mangsa.
"Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan tertiarap di atas jalan raya dengan kesan kecederaan di tangan, belakang badan dan mata. Siasatan awal mendapati suspek menyamar sebagai penumpang sebelum cuba menyamun mangsa," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Tambah Mohan Singh, pihaknya turut menemukan sebilah pisau dipercayai digunakan dalam insiden itu, tidak jauh dari lokasi kejadian.
"Siasatan mendapati, suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau dan telah ditahan reman untuk membantu siasatan. Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," ujar beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140706/je_03/Penyamun-tikam-pemandu-teksi-hingga-mati-diberkas#ixzz36dPTuyYR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment