Search This Blog

Friday, July 4, 2014

Pengurus diseret dua penyamun cedera di kepala


2014/07/04 - 23:59:40
Ipoh: Seorang pengurus syarikat swasta cedera di kepala selepas diseret di jalan raya oleh dua lelaki yang cuba menyamun ketika berhenti di lampu isyarat berhampiran Jalan Hospital di sini, kelmarin.

Mangsa berusia 24 tahun itu, dalam perjalanan pulang menaiki motosikal selepas minum bersama rakan di gerai berhampiran sebelum berhenti di lampu isyarat berkenaan pada jam 3.55 pagi.

Bagaimanapun, sebuah kereta dikatakan memintas mangsa secara tiba-tiba sebelum dua lelaki turun lalu menendang motosikalnya.

Diugut

Sumber berkata, mangsa yang terjatuh turut diugut akan dibelasah oleh suspek jika enggan menyerahkan telefon bimbit miliknya.

Bagaimanapun, kedegilan mangsa berbuat demikian menyebabkan seorang daripada suspek berang lalu menekan kepala lelaki itu ke atas jalan sebelum menyeretnya.

Berikutan tidak tahan dengan perbuatan suspek, mangsa menyerahkan telefon bimbitnya kepada kedua-dua suspek itu.
Sebaik mendapat telefon itu, suspek menendang mangsa sebelum melarikan diri.

Akibat kejadian itu, mangsa cedera di kepala dan lebam di seluruh badan, katanya di sini, semalam.

Katanya, mangsa mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

No comments:

Post a Comment