Search This Blog

Sunday, July 27, 2014

Pengganas mungkin punca pesawat terhempas


Anggota keselamatan mengawasi bangkai pesawat Swiftair MD83 yang terhempas berhampiran kampung Saharan di Boulikessi, sempadan Mali-Burkina Faso, kelmarin. - AGENSI
PARIS 26 Julai - Presiden Perancis, Francois Hollande tidak menolak punca pesawat Air Algerie yang terhempas di Mali kelmarin sehingga mengorbankan 116 orang, mungkin disebabkan pengganas.
Menurut portal Mail Online, beliau berkata, Perancis akan berusaha mengenal pasti punca nahas itu kerana sebahagian penumpangnya ialah rakyat Perancis.
Kenyataan Hollande itu dibuat ketika Pejabat Luar Perancis semalam mengesahkan, seorang lelaki Britain turut terlibat dalam nahas tersebut.
Perkhidmatan kawalan udara dilaporkan gagal mengesan pesawat itu kira-kira 50 minit selepas kapal terbang tersebut berlepas dari Ouagadougou di Burkina Faso ke Algiers.
"Terdapat beberapa hipotesis terutamanya faktor cuaca dan kami juga tidak menolak sebarang kemungkinan lain kerana kami juga mahu tahu penyebab kejadian ini berlaku.
"Apa yang kami tahu, serpihan pesawat tertumpu di ruang yang terhad, tetapi terlalu awal untuk membuat kesimpulan," ujarnya.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Bernard Cazeneuve berkata, Perancis sedar tentang kehadiran pengganas di zon kejadian, yang juga musuh kepada kepentingan Barat.
Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata, beliau sangat sedih dengan berita kematian lelaki Britain itu.
Beliau juga menulis surat kepada Hollande untuk mengucapkan takziah di atas kehilangan rakyat Perancis.
Beberapa gambar juga menunjukkan mayat-mayat dan bangkai pesawat Swiftair MD83 itu bertaburan berhampiran kampung Saharan di Boulikessi, sempadan Mali-Burkina Faso.
Terdapat dakwaan menyatakan, pesawat Swiftair MD83 itu terlalu usang dan tidak seharusnya membawa penumpang.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140727/lu_11/Pengganas-mungkin-punca-pesawat-terhempas#ixzz38cPCLTJp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment