TANJUNG BIDARA - Seorang penunggang motosikal maut selepas tercampak atas cermin sebuah kereta dalam kemalangan di dalam kawasan Kem Terendak, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, motosikal dinaiki mangsa, Santa Anak Bantin, 23, bertembung sebuah kereta jenis Perodua Kancil.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta, Sabariah Ibrahim, 28, bersama dua kanak-kanak, Muhammad Aniq Naqiuddin Mohd Mazlan, 6, dan Muhammad Adib Qusyairi Mohd Mazlan, 3, hanya cedera ringan.

Jurucakap polis berkata, mangsa dipercayai memotong sebuah kenderaan di hadapannya, namun terbabas ke laluan kereta yang dipandu Sabariah dari arah pos pengawal Sungai Udang.

Menurutnya, pemandu kereta itu cuba mengelak motosikal mangsa tetapi gagal menyebabkan berlaku pelanggaran dan mangsa tercampak ke atas cermin hadapan kereta terbabit.

“Sepasukan anggota Jabatan Pertahan Awam (JPAM) serta bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat dan Masjid Tanah telah bergegas ke tempat kejadian bagi membantu. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian.

"Mayat mangsa kemudiannya telah dihantar ke rumah mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.