• Noridzuan bersama pegawainya meneliti dokumen berkaitan dengan restoran dalam pemeriksaan berkenaan.Noridzuan bersama pegawainya meneliti dokumen berkaitan dengan restoran dalam pemeriksaan berkenaan.

KUANTAN - Gara-gara mempamerkan tanda halal di papan tanda restoran, pemilik sebuah restoran yang menjual makanan ala mamak di Tanah Rata, Cameron Higlands diberi amaran bertulis agar tidak gunakan tanda itu.

Pihak pengurusan restoran itu juga diberi amaran menutup logo halal dalam tempoh tiga hari kerana menggunakan logo halal Malaysia tanpa Sijil.

Tindakan memalsukan logo halal adalah satu kesalahan serius di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Perakuan Dan Penandaan Halal) dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan.

Ketua Unit Pengurusan Halal Jaip, Noridzuan Abdul Manan berkata, berdasarkan semakan dokumen dan temubual dengan pihak pengurusan, Restoran itu dimiliki seorang wanita beragama Islam berbangsa India.

“Namun apa yang mencurigakan adalah pemilik itu dikatakan tidak berada di negara ini dan hanya sekali sekala sahaja datang ke restoran itu menyebabkan timbulnya keraguan dan tanda tanya adakah nama wanita itu sekadar untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Alasan itu juga dianggap sebagai helah untuk menghalalkan penggunaan ayat al-Quran di premis makanan itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Jaip akan menyiasat perkara itu sebelum tindakan lanjut dilakukan.

Katanya, restoran itu mempunyai dua pekerja dan seorang tukang masak beragama Islam.

Dalam pemeriksaan itu, Jaip meminta mengemukakan Sijil Halal Malaysia tetapi ternyata pengurus gagal berbuat demikian dan mengakui tidak memiliki Sijil Halal malah tidak pernah memohon Sijil halal.

“Restoran dibuka pada 3.30 petang untuk pelancong bukan Islam tetapi turut menjadi pilihan pelanggan Islam,” katanya.

Selain itu juga katanya, premis yang menjual ayam dan daging serta membekal makanan sejuk beku di Brinchang, turut diberi amaran kerana mempamerkan logo halal Malaysia tanpa Sijil halal sah.

Penggunaan logo halal pada banner iklan premis tersebut seolah-olah premis tersebut mempunyai Sijil halal dan boleh mengelirukan pengguna.

Lawatan pemantauan disertai seramai 11 pegawai dari Jaip, kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Raub, Majlis Daerah Cameron Highlands dan Pejabat Agama Islam daerah.