Search This Blog

Tuesday, July 15, 2014

Pemandu van hampir ditikam


Kuala Lumpur: Seorang pemandu van membawa muatan rokok diculik dan dilarikan seorang perompak sebelum hampir ditikam di perut oleh penjenayah.

Dalam kejadian jam 1.30 petang kelmarin, mangsa yang berusia 42 tahun bagaimanapun terselamat apabila penjenayah mengarahkan mangsa keluar dari kenderaan dipandu selepas dilarikan sejauh lebih tiga kilometer.


Sumber polis berkata, mangsa yang membawa pelbagai jenama rokok bernilai RM35,000 diserang penjenayah ketika berada di Taman Tenaga Cheras, di sini.



Mangsa dikatakan baru sahaja masuk ke dalam van dipandu sebelum suspek datang dan bertindak mengacukan pisau ke perutnya.


“Mangsa kemudian diarahkan memandu van hampir 15 minit sebelum diarahkan berhenti di kawasan sunyi berhampiran sebuah pangsapuri.


“Suspek meminta mangsa mengikut saja arahan dan tidak cuba melawan kerana mendakwa seorang lagi rakannya turut mengekori di belakang kenderaan itu,” katanya.

Dia berkata, suspek kemudian merampas sebuah telefon pintar dan kunci motosikal milik mangsa selain wang tunai hasil jualan rokok sebanyak RM2,000.


“Suspek kemudian mengarahkan mangsa keluar dari van sekiranya tidak mahu ditikam. Mangsa kemudian akur dengan arahan itu sebelum ditinggalkan di bahu jalan. “Mangsa bagaimanapun tidak dapat mengecam wajah sebenar suspek berikutan suspek memakai topi dan cermin mata hitam,” katanya.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Cheras di sini, berhubung kejadian itu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

No comments:

Post a Comment