Search This Blog

Sunday, July 6, 2014

Pemandu teksi mati dibunuh penumpang


2014/07/06
Kuala Lumpur: Seorang pemandu teksi warga tua mati selepas dipercayai dibunuh seorang penumpang yang cuba melakukan samun di Jalan Pudu Ulu, Cheras, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.10 pagi itu, mangsa berusia 63 tahun hendak menurunkan suspek di kawasan berhampiran Hotel V Garden, Jalan Pudu, tetapi berselisih faham dipercayai berkaitan tambang yang dikenakan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata berikutan itu pergaduhan tercetus selepas suspek yang berusia 39 tahun cuba menyamun dan melarikan teksi mangsa.

Katanya, orang ramai yang berada berhampiran lokasi kejadian segera memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa dan turut membantu menahan suspek terbabit yang cuba melarikan diri sebelum menyerahkannya kepada polis.

Mangsa tertiarap atas jalan raya

“Setiba di tempat kejadian, polis menemui mangsa tertiarap atas jalan raya dalam keadaan berlumuran darah selepas mengalami kecederaan serius akibat dicederakan suspek.

“Hasil pemeriksaan oleh Unit Forensik Polis Kuala Lumpur, menemui sebilah pisau berukuran kira-kira 18 sentimeter yang dipercayai digunakan suspek untuk membunuh mangsa, tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mohan Singh berkata, setakat ini, pihaknya masih menjalankan siasatan secara terperinci termasuk mendapatkan maklumat secara lebih tepat daripada beberapa saksi yang membantu dan melihat kes berkenaan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Kami masih menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia,” katanya sambil menambah siasatan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berhubung kes dadah dan jenayah.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

No comments:

Post a Comment