Search This Blog

Tuesday, July 15, 2014

Pelancong dengar 10 das tembakan


Semporna: “Pada mulanya, saya cuma dengar dua das tembakan, tetapi tidak lama kemudian, tembakan sambung-menyambung dan saya rasa mungkin mencecah 10 das tembakan,” kata seorang pelancong, Tong Hui Leong, 44, ketika menceritakan kejadian serang hendap di Water Bungalow Resort, Pulau Mabul, dekat sini, semalam.

Tong yang berasal dari Singapura dan menginap di resort itu sejak 9 Julai lalu berkata, dia datang bersama dua rakannya untuk mengadakan aktiviti menyelam di kawasan berkenaan, namun tidak menyangka berlaku serangan hendap yang mengorbankan seorang anggota keselamatan di situ pada Sabtu lalu.


“Pada malam kejadian, kami tidur lebih awal dari biasa iaitu kira-kira jam 9 malam kerana ingin menonton perlawanan Piala Dunia.



“Bagaimanapun, kira-kira jam 11 malam, saya yang berada di dalam bilik terdengar bunyi tembakan dan hentakan kaki seolah-olah orang sedang berlari di kawasan berkenaan,” katanya.


Menurut Tong, mereka tidak berganjak dari bilik untuk melihat keadaan di luar sehinggalah pintu bilik diketuk oleh pasukan keselamatan.


“Saya tidak berani keluar kerana bimbang dengan keselamatan kami, tetapi selepas kejadian, beberapa anggota keselamatan mengetuk pintu bilik untuk memeriksa keselamatan kami,” katanya.

Menurutnya, mereka menginap di sebuah bilik kira-kira 20 meter dari tempat kejadian sejak Rabu lalu sebelum mendaftar keluar hari ini.


Terdahulu, tinjauan Harian Metro di kawasan resort berkenaan mendapati kawasan perairan dalam keadaan tenang dan beroperasi seperti biasa termasuk pelancong yang masih menjalankan aktiviti mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

No comments:

Post a Comment