Search This Blog

Wednesday, July 23, 2014

PDRM giat runding bebaskan Zakiah



Jalaluddin Abdul Rahman (empat dari kiri) ketika merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 5 2014 sempena Hari Raya Aidilfitri di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
KOTA KINABALU 21 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat menjalankan rundingan bagi membebaskan anggota Pasukan Polis Marin (PPM), Konstabel Zakiah Aliep yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata di Pulau Mabul, Semporna, baru-baru ini, supaya mangsa dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarganya, nanti.
Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya dengan bantuan pasukan keselamatan Filipina telah berunding dengan kumpulan berkenaan untuk membebaskan mangsa.
Namun menurutnya, segala intipati rundingan tidak boleh didedahkan kepada umum atas faktor keselamatan dan bagi memastikan usaha menyelamatkan Zakiah berjalan lancar.
"Kumpulan penjenayah ada menghubungi polis dan keluarga mangsa untuk proses rundingan membebaskan mangsa. Apa yang penting, beliau (Zakiah) berada dalam keadaan selamat.
"Saya tidak boleh beri jaminan 100 peratus, beliau akan bebas sebelum Aidilfitri ini tetapi kita akan cuba sedaya upaya. Saya juga tidak boleh menyatakan apa proses rundingan yang sedang atau telah dibuat," katanya selepas melancarkan Op Selamat 5 sempena Aidilfitri yang berlangsung selama 15 hari, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 11.10 malam, pada 12 Julai lalu, Zakiah, 26, diculik sekumpulan lelaki bersenjata manakala rakan setugasnya, Koperal Ab. Rajah Jamuan, 32, mati ditembak kumpulan berkenaan ketika mereka meronda di sebuah resort di Pulau Mabul.
Mengenai perkembangan perintah berkurung di enam buah daerah di pantai timur Sabah, Jalaluddin berkata, berdasarkan maklum balas, tiada sebarang insiden buruk berlaku sepanjang dua hari pelaksanaan arahan tersebut.
Jelasnya, situasi terkawal itu diharap akan berterusan sehingga tempohnya ditarik balik pada 2 Ogos ini.
"Ketua polis daerah menerima maklum balas positif daripada penduduk di kawasan perairan daerah terlibat terutama nelayan.
"Mereka yang memikirkan mengenai keselamatan negara akan menyokong pelaksanaan ini manakala yang mementingkan diri sendiri, menganggapnya sebagai sesuatu menyusahkan," katanya.
Mengulas tentang Op Selamat 5, Jalaluddin berkata, polis komited untuk memastikan penurunan kadar kemalangan dan kematian sepanjang operasi itu dijalankan.
Ujarnya, untuk itu, anggota polis trafik dengan dibantu agensi kerajaan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan ditempatkan di 20 lokasi hotspot yang dikenal pasti di seluruh negeri ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140722/je_01/PDRM-giat-runding-bebaskan-Zakiah#ixzz38F3o1y8H
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment