Search This Blog

Friday, July 4, 2014

Pasangan kahwin segera nikah semula


2014/07/04 - 00:06:22
Alor Setar: Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) mengesahkan sebahagian daripada 68 pasangan yang mendakwa bernikah melalui khidmat sindiket nikah ekspres di Kuala Kedah, sebelum itu sudah melangsungkan pernikahan di negara jiran.

Perkara itu terbongkar susulan siasatan lanjut JAIK ke atas 20 daripada pasangan terbabit yang dipanggil untuk diambil keterangan setakat ini, termasuk yang berada di luar Kedah.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JAIK, Syeikh Ahmad Faisol Omar, berkata majoriti daripada 20 pasangan terbabit mengaku berkahwin di beberapa lokasi di negara jiran walaupun dalam surat nikah masing-masing tertera Masjid Kuala Kedah sebagai lokasi pernikahan.

Kita kesan ramai dalam kalangan mereka sebenarnya berkahwin di negara jiran, pulang ke tanah air dan mendaftar pernikahan yang kononnya dilangsungkan di sebuah masjid di Kuala Kedah. Motifnya dipercayai untuk memudahkan urusan pendaftaran nikah, selain mengelak prosedur rumit yang perlu dilalui.

Buat masa sekarang, kita sudah panggil 20 pasangan dan hasil keterangan, status nikah majoriti daripada mereka diyakini tidak sah. Justeru, kita harap baki lebih 40 lagi pasangan dapat tampil kerana ia penting kerana bukan saja menentukan status nikah, tetapi juga anak yang bakal lahir hasil hubungan itu.

Jika benar status pernikahan mereka tidak sah, mereka perlu melalui semula proses pernikahan, katanya.

BH sebelum ini melaporkan seorang imam sebuah masjid di Kuala Kedah digantung tugas sebagai jurunikah kerana disyaki dalang sindiket nikah ekspres yang dikesan aktif sejak awal tahun ini. Sindiket itu didakwa sudah menikahkan lebih 60 pasangan dengan bayaran RM3,000 setiap pasangan dan turut mengeluarkan sijil nikah palsu.
Mengenai nasib anak yang bakal dilahirkan pasangan yang tidak sah status pernikahan mereka, Ahmad Faisol, berkata anak terbabit boleh diklasifikasikan sebagai anak syubhah (meragukan).

No comments:

Post a Comment