KOTA BHARU - Padah memukul bekas isteri, seorang pencuci kereta dihukum penjara tiga bulan oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret, Mohd Isa Mohamad selepas tertuduh, Mohd Nazam Yusoff, 27, mengaku bersalah.

Tertuduh didakwa dengan sengaja memukul Nur Azmina Ismail, 21, dengan tangan dan kaki hingga menyebabkan kesakitan kepada mangsa di tepi katil di wad Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, pada jam 12 tengah hari, 4 Mei 2014.

Sebelum insiden itu, mangsa berada di hospital kerana menjaga anak yang mendapat rawatan penyakit jantung. Tertuduh datang bertemu mangsa untuk meminta wang, namun mangsa enggan menyebabkan tertuduh memarahinya.

Tertuduh memukul mangsa dengan tangan di belakang bahu dan menyepak paha kiri mangsa, menyebabkan mangsa kesakitan.

Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri.

Hukuman diarah berkuat kuasa daripada tarikh tertuduh ditahan pada 5 Mei 2014.