Search This Blog

Saturday, July 12, 2014

Nafi cuba bunuh isteri


Oleh Salman Hamat

Butterworth: Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan cubaan membunuh isterinya dengan niat pada Ogos 2012.

Tertuduh, N Premananth, 43, kelihatan tenang ketika pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Premananth dituduh mengelar leher isterinya menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah di No 67, 15/SS2, Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS), jam 7.30 pagi, 1 Ogos 2012.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda serta penjara hingga 20 tahun sekiranya mendatangkan kecederaan pada mangsa.

Terdahulu, peguam tertuduh, R S N Rayer merayu kepada mahkamah supaya anak guamnya itu dibenarkan untuk diikat jamin dengan alasan dia menyara ibu bapanya serta dua lagi anaknya.

“Diharapkan mahkamah dapat memberikan jaminan kepada tertuduh dan mempertimbangkan jumlah bayaran dikenakan mengikut kemampuan untuk dibiayai oleh tertuduh sekiranya dia dibenarkan untuk dijamin, “Tertuduh hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur dan dia sanggup mematuhi peraturan ditetapkan sekiranya dibenarkan untuk diikat jamin,” katanya.

Rayuan itu bagaimanapun dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor dengan alasan tertuduh boleh menyebabkan kacau ganggu terhadap keluarga mangsa dan mempunyai potensi untuk melarikan diri.

Meor Sulaiman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/12

No comments:

Post a Comment