Search This Blog

Saturday, July 12, 2014

Model dibunuh: Polis tunggu laporan bedah siasat, ada kesan lebam


JOHOR BAHRU 11 Julai - Polis masih menunggu laporan bedah siasatan tentang punca kematian seorang model sambilan warganegara Estonia yang ditemui mati di Pulau Rawa, Mersing dekat sini pada 1 Julai lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Hasnan Hassan berkata, terdapat kesan calar dan lebam ditemui di bahagian badan mangsa, Regina Soosalu, 30.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas tentang penemuan kesan kecederaan itu memandangkan siasatan lanjut masih dijalankan.
"Kita masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian mangsa dan kita percaya akan dapat laporan itu sedikit masa lagi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Regina dipercayai dibunuh pada hari sama dia tiba di pulau itu. Mangsa yang menetap di Kuala Lumpur dikatakan ke pulau tersebut untuk bercuti.
Mayat mangsa dikatakan ditemukan dalam keadaan terapung oleh beberapa tetamu pusat peranginan di situ sebelum dibawa dengan sebuah bot ke hospital berdekatan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Pada peringkat awal polis menyiasat kematiannya sebagai mati lemas, namun hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan kecederaan di badan mangsa dan mengklasifikasikan kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan kerana membunuh.
Sehingga kini seramai tujuh lelaki berusia 30-an termasuk teman lelaki mangsa yang merupakan anak seorang kenamaan serta pekerja pusat peranginan berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.
Menurut Hasnan, mayat Regina yang kini berada di Hospital Sultan Ismail, di sini dilaporkan akan dituntut oleh ahli keluarganya dalam tempoh terdekat.
Hasnan berkata, pihaknya juga sedang menyiasat sama ada kematian mangsa ada hubung kait dengan penyalahgunaan dadah.
"Kita kena tunggu laporan bedah siasat. Kita juga sedang menyiasat sama ada ketujuh-tujuh lelaki yang ditahan berhubung kes tersebut sekiranya positif dadah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140712/je_06/Model-dibunuh-Polis-tunggu-laporan-bedah-siasat-ada-kesan-lebam#ixzz37CebCa8s
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment