Search This Blog

Saturday, July 12, 2014

Militan: Peniaga, dua rakan didakwa



DARI kiri, Mohd. Amin Abdul Rahman , Muamar Gadaffi Mohamad Shafawi dan Abd. Rahaman Ramli dituduh melibatkan diri dalam kegiatan militan di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak, semalam. - UTUSAN/ HANAFI KHAMIS
KUALA KANGSAR 11 Julai - Tiga sahabat dihadapkan ke dua buah mahkamah di sini hari ini atas tuduhan mempunyai kaitan dengan kumpulan militan selain memiliki dua laras senapang dan kira-kira 504 butir peluru hidup pelbagai saiz dan jenis.
Mereka ialah pengusaha ladang kelapa sawit, Muamar Gadaffi Mohamad Shafawi, 30, dan Mohamad Amin Abdul Rahman, 29, serta Abd. Rahaman Ramli, 46, masing-masing bekerja sebagai penoreh getah.
Muamar Gadaffi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memberi latihan ketenteraan kepada orang yang bersedia melibatkan diri dalam perbuatan pengganas, Disember tahun lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Muamar Gadaffi yang diwakili peguam Mohd. Fitri Asmuni selepas pertuduhan tersebut dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Noordura Mohamed Din.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat untuk memajukan sesuatu tujuan ideologi dan perbuatan yang boleh dianggap untuk mengugut orang awam di Syria di antara kira-kira pukul 2 petang dan 4 petang, 25 hingga 27 Disember tahun lalu di Bukit Ara Para, Kampung Ketior dekat sini.
Pertuduhan terhadapnya yang ditahan di Sandakan, Sabah dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar mengikut Seksyen 130F(c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.
Shukor turut membantah sebarang ikat jamin diberikan kepada tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan serius melibatkan aspek keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
"Perbicaraan di bawah kesalahan keselamatan juga akan dibicarakan di hadapan seorang hakim mahkamah tinggi. Justeru, kami memohon supaya tarikh sebutan ditetapkan untuk memberi masa kepada pihak pendakwa membuat permohonan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur," katanya.
Mohd. Fitri pula memohon supaya anak guamnya dibenarkan dibebaskan dengan jaminan kerana menghidap penyakit angin pasang dan ketumbuhan di bahu.
Noordura bagaimanapun membenarkan permohonan pihak pendakwa supaya tertuduh tidak diikat jamin sehingga kes selesai dan menetapkan sebutan semula pada 18 Julai ini.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di sini, Mohamad Amin yang didakwa atas lima pertuduhan manakala Abd. Rahaman dengan tiga pertuduhan, masing-masing mengaku bersalah atas semua tuduhan yang dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Johari Hassan.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Amin didakwa memiliki selaras senapang jenis 0.22 dan selaras senapang patah buatan sendiri tanpa kebenaran yang sah serta masing-masing 41 butir peluru jenis 0.22 dan 30 butir peluru jenis 12 Gauge tanpa lesen dan permit.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukannya di antara pukul 11.30 pagi dan 2.14 petang, di antara 18 Jun dan 25 Jun lalu di kawasan belakang rumah No. 54 dan di sebuah kebun getah di Kampung Kelebor di sini.
Bagi kesalahan memiliki senapang, Mohamad Amin didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali.
Pertuduhan memiliki peluru pula dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000.
Abd. Rahaman pula didakwa memiliki sejumlah 433 butir peluru iaitu daripada jenis 0.22 dan SME gmm di antara kira-kira pukul 6 petang dan 9 malam, 25 Jun lalu, di Lot 1547, No.46, Kampung Sementa Kuala Kenas dan di kawasan kebun getah di Kampung Kelebor di sini.
Ketiga-tiga pertuduhan terhadap Abd. Rahaman turut dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka akan menjalankan kes masing-masing kerana tidak mampu melantik peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 25 Julai ini untuk fakta kes dikemukakan sebelum menjatuhkan hukuman.
Pada prosiding yang bermula pukul 3 petang, selain ketiga-tiga tertuduh, mahkamah turut dihadiri kira-kira 20 ahli keluarga tertuduh-tertuduh.
Mengikut laporan akhbar, ketiga-tiga mereka ditahan pada 13, 18 dan 25 Jun lalu oleh anggota polis Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman kerana disyaki menghasilkan raifal buatan sendiri serta membekalkan peluru kepada anasir-anasir militan untuk menjalani latihan menembak di Gunung Arang Para, Kampung Nyior Ketior, Kuala Kangsar, pada Disember tahun lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140712/ma_01/Militan-Peniaga-dua-rakan-didakwa#ixzz37CdrjqE7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment