Search This Blog

Friday, July 4, 2014

Merana jerat MLM


Oleh Muhammad Saufi Hassan
Kuala Lumpur: Akibat terpedaya dengan skim pelaburan pemasaran pelbagai peringkat (MLM), seorang wanita berusia 34 tahun menanggung kerugian lebih RM34,000 selepas tertarik dengan pulangan lumayan yang dijanjikan syarikat itu.

Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pihaknya menerima aduan wanita itu yang terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit berikutan kos latihan syarikat MLM itu.


Menurutnya, wanita itu terpaksa mengikut latihan berbayar setiap bulan yang diseliakan dan mereka turut mengarahkannya untuk mencari lebih ramai orang bawah (downline) untuk menjana pendapatan.

“Saya juga difahamkan bahawa orang bawah wanita itu turut mengalami nasib yang sama dan perlu mengikuti latihan yang dianjurkan mereka.


“Selain itu, syarikat MLM terbabit juga tidak memberi sebarang salinan dokumen yang sudah ditandatangani mangsa sebagai bukti bahawa mereka sudah didaftarkan dengan syarikat berkenaan,” katanya dalam satu sidang akhbar, di sini, semalam.


Hadir sama Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO Sheikh Nafiq Alfirdaous.

Khairul berkata, kes penipuan MLM itu bukan perkara baru, malah beliau percaya ramai lagi mangsa yang mengalami nasib serupa.

Beliau berkata, semua pihak terutama anggota masyarakat perlu sedar ada segelintir pihak cuba mengaut keuntungan melalui hasil titik peluh orang lain.




Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

No comments:

Post a Comment