Search This Blog

Wednesday, July 23, 2014

Mayat ibu tunggal ditemui dalam semak


23 Julai 2014


GUA MUSANG - Seorang ibu tunggal warga Thailand ditemui mati berlumuran darah di dalam belukar di belakang rumahnya di Batu Macang, Jerek, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, mayat Rokiah Ismail, 66, dijumpai penduduk kampung pada pukul 2 petang ketika gerakan mencarinya selepas dia didapati hilang dari rumah Isnin lalu.

Beliau berkata, polis dari Balai Polis Bertam di sini yang menerima maklumat penemuan warga emas itu bergegas ke tempat kejadian dan pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala.

"Polis yang menjalankan siasatan di dalam rumah mangsa menemukan kesan darah di ruang dapur dan dipercayai mangsa dipukul di situ sebelum dibuang ke dalam semak di belakang rumahnya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Saiful Bahri berkata, mangsa merupakan peniaga sayur kecil-kecilan di sekitar kampung itu dan polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar pembunuhan. - Bernama

No comments:

Post a Comment