REMBAU – “Nadi mangsa sangat lemah... Ketika saya panggil beberapa kali, mangsa hanya menyahut melalui hembusan nafas di hidung yang turut mengeluarkan darah,” luah orang awam, Nasuha Ibrahim, 21.
Nasuha yang ketika itu sedang bekerja sambilan di kedai membuat kuih meluru ke lokasi kemalangan sebaik dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.
“Pada masa itu, kereta Produa Kancil mangsa dalam keadaan mengiring dan saya terus memeriksa nadinya. Nadinya lemah dan saya minta bantuan orang awam untuk menegakkan kembali kereta berkenaan kerana kedudukannya yang menghimpit badan mangsa,” katanya.
Nasuha berkata, selepas itu dia cuba memaklumkan kepada keluarga mangsa dan dengan paparan nama “Isteri” di telefon mangsa, dia segera menghubungi nombor berkenaan.
“Saya memaklumkan kepada isteri mangsa suaminya terlibat dalam kemalangan dan menyuruhnya segera datang ke GiatMara Rembau.
“Bagaimanapun tidak lama kemudian isteri mangsa menghubungi saya kembali dalam keadaan cemas dan memohon bantuan mengambilnya di Seremban kerana tidak mempunyai pengangkutan untuk ke sini,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki maut selepas keretanya dilanggar dan diseret oleh kepala lori dari arah bertentangan di kilometer 42.5, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, kira-kira 7.30 pagi tadi.
Mangsa, Mostofa Saffa, 54, yang berasal dari Seksyen 18, Shah Alam, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian badan.
Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Yusof Samad dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira jam 7.25 pagi dan tiba di lokasi 15 minit kemudian.
Yusof berkata, sebaik tiba di lokasi mendapati mangsa tersepit sedikit di bahagian kaki di tempat duduk pemandu dan pihak bomba mengambil masa kurang dari dua minit untuk mengeluarkan mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan punca kemalangan berkenaan masih lagi dalam siasatan.
“Mayat mangsa di hantar ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat.