Search This Blog

Wednesday, July 23, 2014

Maut terkena tiga das tembakan


23 Julai 2014


MIRI - Seorang lelaki maut selepas ditembak dua lelaki dalam kejadian di Kampung Lusut, Taman Tunku, di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, mangsa, Chiong Siong Yu, 45, dari Jalan Pujut 1, meninggal dunia di hospital selepas terkena tiga das tembakan di bahagian kanan muka dan bahu kiri.

Mangsa ditemui ditembak di sebuah kawasan yang dipercayai lokasi aktiviti sabung ayam dan siasatan polis di situ menemukan sembilan kelongsong peluru 45mm serta sebutir peluru hidup, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurutnya siasatan awal polis juga mendapati mangsa ditembak oleh dua suspek bertopeng yang masing-masing membawa pistol.

Mengulas kes berbeza, Tian Kee berkata, seorang lelaki berusia 37 tahun maut selepas dibelasah dua lelaki yang bersenjatakan parang panjang dan besi di belakang bangunan Bright Inn, Jalan Merpati, pukul 5 petang semalam.

Lee Hua Dung dari Piasau sempat melarikan diri ke sebuah kedai runcit berhampiran sebelum terjatuh dan tidak sedarkan diri, katanya.

Menurut Tian Kee, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Umum Miri.

Siasatan polis mendapati mangsa diserang sebanyak dua kali oleh suspek yang sama iaitu kali pertama pada pukul 3.30 petang dan kali kedua pukul 5 petang, katanya.

Menurutnya kedua-dua kes diklasifikasi kes bunuh dan disiasat menurut Seksyen 302 Kanun keseksaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment