• Keadaan kereta mangsa yang terbalik.Keadaan kereta mangsa yang terbalik.

NILAI – Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera ringan selepas kenderaan serba guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 272 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Yaw Ern Nian, 23, beralamat dari Kinrara, Puchong meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai tercampak daripada kenderaan dinaikinya.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Seremban menuju ke Kuala Lumpur.

“Namun sejurus sampai di lokasi kejadian, kereta berkenaan yang dipandu eorang lelaki berusia 58 tahun tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar pengadang plastik jalan.

“Kejadian itu mengakibatkan kereta terbabit berpusing beberapa kali dan memasuki laluan pembinaan jalan sebelum terbalik," katanya.

Tambahnya, Ern Nian yang duduk di bahagian belakang tercampak keluar dan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di  kepala dan badan.

"Manakala pemandu kereta terbabit dan seorang lagi penumpang wanita hanya cedera ringan. Mereka dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Abdullah Roning ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.