LUNAS - Hasrat seorang datuk membawa cucu pulang ke rumah selepas waktu persekolahan tidak kesampaian apabila kedua-duanya terlibat dalam kemalangan di Jalan Padang Serai Lunas kira-kira jam 12.50 tengah hari, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, mangsa yang menunggang motosikal bersama cucunya berusia 15 tahun dari arah Lunas menuju ke Padang Serai.

Menurutnya, tiba di hadapan Sekolah Kebangsaan Lunas, sebuah bas persiaran dari arah bertentangan masuk ke selekoh sebelah kanan menuju ke Taman Desa Permai.

"Keadaan bas yang melintang di tengah jalan menghalang laluan mangsa. Mangsa yang gagal mengelak merempuh di bahagian belakang sebelah kiri bas terlibat.

"Akibat rempuhan kuat, mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan badan manakala cucunya terhumban ke tengah jalan," katanya.

Katanya, mangsa maut di tempat kejadian manakala cucunya di bawa ke Hospital Kulim dengan ambulan untuk rawatan kecemasan.

"Dari maklumat diperoleh, cucu mangsa masih tidak sedarkan diri bagaimanapun keadaannya stabil.

"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melibatkan kemalangan maut.

"Ini merupakan kes kemalangan maut yang pertama di laporkan berlaku sepanjang bulan Julai.