• Keadaan ambulans yang bertembung berhadapan dengan MPV mangsa.Keadaan ambulans yang bertembung berhadapan dengan MPV mangsa.

SERI ISKANDAR - Seorang pemuda maut dalam kemalangan di Kilometer 12, Jalan Bota Kanan-Teluk Intan berhampiran Kampung Batu 19 Teluk Sareh, Kampung Gajah di sini petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Naza Citra bertembung sebuah ambulans daripada Klinik Kesihatan Changkat Lada.

Menurutnya, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohammad Hanif Mohmed Jelas, 24, yang memandu SUV tersebut daripada Kampung Gajah menuju ke Bota Kanan manakala ambulans pula datang dari arah Bota Kanan menuju ke Kampung Gajah.

“Kejadian berlaku apabila pemandu SUV berkenaan dipercayai telah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan iaitu laluan ambulans di kawasan jalan berselekoh.

“Pemandu ambulans cuba mengelak ke kanan dan pada waktu sama pemandu SUV cuba memasuki semula laluannya namun kerana jarak yang terlalu dekat menyebabkan berlakunya pertembungan secara berdepan menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.

“Kelindan ambulans dikenali sebagai Rizam Marwan, 37, dan pembantu Klinik Kesihatan Changkat Lada dikenali sebagai Mohamad Faizal Mohamed Ameen, 22,  cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Changkat Melintang.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar, Ahmad Rozarin Razak berkata,  panggilan berkenaan kejadian itu kira-kira jam 5.15 petang.

“Bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit. Operasi selesai jam 6.10 petang," katanya.