Search This Blog

Friday, July 11, 2014

Maut leher ditikam


Oleh Mohd Rizal Abdullah

Puchong: Seorang lelaki warga Myanmar dipercayai ahli sindiket pemalsuan dokumen warga asing ditemui mati dalam keadaan ngeri apabila lehernya ditikam pisau berulang kali oleh pembunuh.

Dalam kejadian jam 8.30 malam kelmarin, mangsa dikenali sebagai Phay Hein,40, ditemui terbaring berlumuran darah di kaki lima Jalan Taman Perindustrian Maju Jaya, Bukit Puchong, di sini.

Sumber polis berkata, mangsa ditemui orang awam terbaring dengan kesan darah di muka dan badan akibat hentakan kuat di kepala selain tikaman di bahagian leher dan rusuk kanan.

Menurutnya, mangsa bertugas sebagai ejen menguruskan dokumen pendatang asing dan berada di negara ini sejak 10 tahun lalu.

“Difahamkan sebelum kejadian, mangsa dilihat berada di restoran bersama anak lelaki dan rakannya yang terletak 100 meter dari tempat kejadian.

“Mangsa diserang dua suspek lelaki ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak berdekatan restoran itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pihaknya giat mengumpul bukti selain berusaha mengesan suspek yang terbabit dalam kes itu.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu bermotifkan dendam membabitkan pemalsuan dokumen palsu warga asing.

“Polis masih melakukan siasatan bagi mengesan suspek terbabit dalam kes itu.



Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubung balai polis berhampiran,” katanya.

Difahamkan, kejadian bunuh membabitkan warga Myanmar di kawasan itu kerap berlaku berikutan ramai warga asing menjadikan kawasan itu lokasi berkumpul untuk menikmati minuman keras sehingga mabuk.

Dia berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/11

No comments:

Post a Comment