KUALA KURAU -  Seorang pemandu jentera penurap jalan (steam roll) terbunuh selepas jentera itu terbalik ke dalam sebuah parit dan menghempapnya ketika sedang menyiapkan projek menaik taraf jalan ban di Kampung Parit Sungai Burong, di sini,  semalam.

Mangsa kejadian, A Peter Lues, 50, yang berasal dari Taman Seri Kerian, Bagan Serai meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

Saksi kejadian, S Vinod,25, berkata, kejadian berlaku pada jam 9.30 pagi apabila jentera yang dipandu mangsa terbalik dan terhumban ke dalam parit berhampiran ketika sedang menjalankan kerja menggilis batu kerikil jalan.

Menurutnya, mangsa yang mula bekerja di lokasi kejadian sejak kelmarin difahamkan sedang memandu jentera itu sebelum terhumban akibat keadaan pinggiran jalan ban yang lembut menyebabkan tanah runtuh.

“Berikutan itu, mangsa terhumban ke dalam parit berserta jentera dipandu sebelum ditimpa jentera itu ketika cuba bangun untuk menyelamatkan diri.

“Kejadian itu disedari beberapa pekerja kontrak yang membantu mengeluarkan mangsa dari bawah jentera itu sebelum membawanya ke Hospital Parit Buntar dan disahkan telah meninggal dunia,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Sementara itu, jurucakap Pertubuhan Sukarelawan Keselamatan dan Kebajikan Islam Kerian (PSKK) berkata, kejadian itu disedari penduduk kampung setelah dimaklumkan beberapa pekerja kontrak di kawasan berdekatan.

Menurutnya, usaha mengeluarkan mangsa pada mulanya menemui kesukaran, namun berjaya dilaksanakan hasil kerjasama penduduk kampung dan anggota PSKK.

“Mangsa didapati sudah meninggal dunia, dipercayai lemas di dalam parit berikutan ditimpa jentera penurap jalan yang berat.

“Selain itu, terdapat beberapa kecederaan parah dikesan di bahagian kepala dan badan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan masih dijalankan.

“Punca sebenar kematian mangsa belum dikenal pasti kerana polis masih menunggu laporan bedah siasat.

“Kita yakin kes tiada kaitan unsur jenayah,” katanya.