BIDOR - Seorang penunggang basikal maut dihempap timbunan kayu bergergaji selepas lori yang membawa kayu itu terbalik dalam satu kemalangan di Kilometer (KM) 65.7, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Pekan Bidor, kira-kira jam 7.45 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, mangsa dikenali Tan Lee Meng, 64, dari Jalan Panggung, di sini, maut di tempat kejadian.

Katanya, kejadian berlaku apabila kedua-dua kenderaan dalam perjalanan dari arah Tapah menuju ke Sungkai.

Menurutnya, lori yang dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun dari Chemor, tiba-tiba terbalik selepas melalui satu selekoh.

“Berikutan kejadian itu, mangsa yang sedang menunggang basikal dihempap dengan muatan kayu bergergaji tersebut.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tertimbus dalam timbunan kayu bergergaji tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, orang ramai yang berada di tempat kejadian membantu mengeluarkan mangsa dari timbunan kayu, namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia.

Som Sak berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk tindakan lanjut. Dalam masa sama pihak polis mengambil keterangan dan membuat ujian air kencing ke atas pemandu lori bagi membantu siasatan.

“Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.