Search This Blog

Wednesday, July 30, 2014

Maut dibelasah, ditikam tiga kali


Oleh Mary Victoria Dass dan Izlaily Nurul Ain Hussein
Johor Bahru: Hasrat seorang lelaki bertemu dengan rakan untuk minum petang tidak kesampaian apabila dia maut dibelasah dan ditikam tiga kali oleh sekumpulan lelaki di Taman Sentosa di sini, kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 5.30 petang, kereta BMW 325i milik mangsa juga dilarikan oleh kumpulan lelaki berkenaan.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas mangsa yang berasal dari Selayang, Selangor bersama seorang rakan turun daripada kereta dan berjalan menuju ke sebuah restoran untuk bertemu rakan mereka.

Mangsa dan rakannya didatangi oleh enam lelaki yang menyerang mereka hingga mengakibatkan mangsa rebah di tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa berpindah ke Johor Bahru lebih sebulan lalu dan memiliki dua anak.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, akibat serangan itu, mangsa yang berusia 29 tahun mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan.

Beliau berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan meninggal dunia pada 6.18 petang ketika menjalani rawatan di situ.

“Mayat mangsa dibedah siasat di Rumah Mayat HSA dan polis juga sudah memaklumkan kejadian berkenaan kepada keluarganya.

“Rakan mangsa yang berusia 30-an mengalami kecederaan di jari hanya mendapatkan rawatan di bahagian pesakit luar HSA,” katanya.

Sulaiman berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian.

Menurutnya, pihaknya menahan dua suspek pada jam 6 petang kelmarin bagi membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kami yakin dapat memberkas beberapa suspek yang masih bebas.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/30

No comments:

Post a Comment