Search This Blog

Saturday, July 12, 2014

Mangsa culik diselamatkan


KOTA KINABALU 10 Julai - Selepas 65 hari berada dalam tawanan penculik, seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China yang diculik sekumpulan lima lelaki bersenjata api di Pulau Baik, Lahad Datu dekat sini pada 6 Mei lalu, akhirnya diselamatkan pasukan keselamatan awal pagi ini.
Sumber keselamatan memberitahu, mangsa, Yang Zai Lin, 34, diselamatkan di dalam kawasan hutan di Patikul, Kepulauan Jolo yang merupakan salah sebuah kubu serpihan kumpulan Abu Sayyaf.
Menurutnya, operasi menyelamat mangsa dimulakan pada pukul 8 malam tadi selepas pasukan keselamatan bertindak memasuki Patikul.
"Pasukan keselamatan bergerak dari Jolo kira-kira pukul 9 malam selepas berjaya menyelamatkan mangsa dan tiba di Sandakan pada pukul 1 pagi ini. Ketika operasi menyelamatkan mangsa, bot pasukan keselamatan telah ditembak bertubi-tubi tetapi tersasar.
"Sebaik sahaja tiba di Sandakan, mangsa telah bertemu dengan keluarganya dan turut memberi penghormatan terakhir ke atas rakan kongsinya di sebuah rumah mayat. Rakan kongsi mangsa maut dalam kemalangan di Sandakan, baru-baru ini," katanya.
Dalam kejadian 6 Mei lalu, Zai Lin diculik sekumpulan lima penjenayah bersenjata api di sebuah pusat penternakan ikan dalam sangkar di Pulau Baik, Lahad Datu, kira-kira sebulan selepas seorang pelancong rakyat China dan seorang pekerja resort diculik di Semporna.
Ketika kejadian pada pukul 2.45 pagi itu, ahli perniagaan tersebut diculik kumpulan berkenaan yang dua daripadanya bertopeng, berbaju celoreng ala tentera dan bersenjata api dipercayai M-16, di hadapan pusat ternakan terbabit dengan menaiki sebuah bot kecil.
Kata sumber itu lagi, mangsa berada dalam keadaan sihat tetapi sedikit kurus ketika diselamatkan.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Zai Lin akan dihantar pulang ke negara asalnya petang ini melalui Kuala Lumpur.
"Selepas berjaya diselamatkan, dia (Zai Lin) telah dibawa ke Sandakan. Seterusnya, dia akan diterbangkan ke Kuala Lumpur, sebelum dihantar pulang ke China.
"Apa yang mustahak, kita (Polis Diraja Malaysia) telah berjaya menyelamatkannya. Tetapi siasatan akan tetap dijalankan berhubung insiden culik itu. Ini tanggungjawab kita untuk memastikan keselamatan, bukan sahaja rakyat negara ini tetapi pengunjung-pengunjung di perairan timur Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri taklimat penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dekat sini hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140711/je_01/Mangsa-culik-diselamatkan#ixzz37CfT1wyw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment