• Uthaya menunjukkan lubang pada pagar besi yang dibuka suspek sebelum memecah kunci mangga di kedai runcit milik keluarganya.Uthaya menunjukkan lubang pada pagar besi yang dibuka suspek sebelum memecah kunci mangga di kedai runcit milik keluarganya.

RAWANG - Seorang peniaga kerugian lebih RM2,500 apabila kedai yang disewanya dalam pasar moden Bandar Country Homes dimasuki pencuri Ahad lalu sekitar jam 2 hingga 3 pagi.

Mangsa, R Uthaya Kumar, 22, berkata, kedai milik keluarga yang beroperasi sejak tujuh tahun lalu itu telah dimasuki pencuri sebanyak lima kali untuk tahun ini.

Menurutnya, dia syak kedainya dimasuki orang yang sama apabila turut merosakkan satu kamera litar tertutup (CCTV) dan melarikan dekoder yang mengandungi rakaman CCTV.

“Tahun lepas saya berjaya tangkap suspek bawah umur yang pecah masuk dalam premis melalui rakaman CCTV, kemudian ada kes kecurian lagi. Masa tu suspek tutup muka dengan kain. Kali ini CCTV dirosakkan dan dekoder dilarikan.

“Mereka turut melarikan barang jualan seperti minuman ringan, paket minuman 3 dalam 1, mainan serta sos,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, dipercayai suspek masuk melalui pintu dengan memecahkan kunci mangga dari celah pagar besi.

“Tak pasti mereka potong mangga atau sebaliknya sebab setiap kali selepas kejadian kunci tersebut tidak ditemui.

“Kami memang ada tingkatkan ciri-ciri keselamatan termasuklah tukar kunci dan pintu yang lebih tebal, tapi pencuri lagi bijak menyebabkan kejadian sama berulang,” katanya.

Katanya, dia berharap supaya pasar moden menyediakan pengawal keselamatan yang boleh memantau kawasan selain memperketatkan laluan keluar masuk.

“Pernah beberapa kali terserempak dengan beberapa anak muda yang melepak di sini pada waktu malam sekitar jam 12 dan biasanya akan meminta mereka beredar.

“Kami juga pernah berkawal pada waktu malam untuk atasi masalah kecurian ini namun tidak berjaya menangkap suspek,” katanya.