Search This Blog

Friday, July 11, 2014

Lelaki Nigeria edar dadah dihukum gantung


PUTRAJAYA 10 Julai - Seorang bekas penuntut warganegara Nigeria diperintah menjalani hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine selepas Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan pendakwa raya.
Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif memutuskan demikian secara sebulat suara dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Nolose Albert Raleshome, 35, pada 9 Disember tahun lalu.
Beliau yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Hasan Lah dan Datuk Ramly Ali mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkannya terhadap tuduhan itu.
Hakim Md. Raus dalam keputusannya berpuas hati bahawa tiada percanggahan di antara keterangan ahli kimia, Muzaiyanah Mohd. Kaprawi di mahkamah dan laporan kimia yang disediakannya berhubung analisis dadah berkenaan.
Mahkamah Rayuan ketika membebaskannya berpendapat wujud percanggahan di antara kedua-duanya sama ada butiran dadah itu telah dihomogenkan sewaktu dianalisis.
Warganegara Nigeria itu didapati mengedar methamphetamine seberat 707.5 gram di tempat letak kereta Medan Selera 118 di Taman Len Seng, Cheras di ibu negara pada pukul 12 tengah hari, 30 Disember 2010.
Dia ditahan selepas polis menemui beg berisi bungkusan berwarna hitam mengandungi serbuk hablur di dalam kereta yang dipandunya.
Bagaimanapun, responden dalam keterangan bela diri menyatakan bahawa dia tidak mengetahui kewujudan dadah itu yang ditinggalkan di dalam kereta tersebut oleh seorang wanita yang merupakan kekasih kepada rakannya.
Raleshome diwakili oleh peguam Ramkarpal Singh manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140711/ma_02/Lelaki-Nigeria-edar-dadah-dihukum-gantung#ixzz376q8BHR0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment