• Keratan Sinar Harian 9 Julai lalu.Keratan Sinar Harian 9 Julai lalu.

KUALA SELANGOR - Keprihatinan seorang lelaki membantu mengecam remaja perempuan dilaporkan hilang sejak 26 Jun lalu ketika mahu bersahur di sebuah restoran di Gombak akhirnya menamatkan penantian keluarga Fatimah Jasin, 50.

Tindakan pantas seorang lelaki dikenali Roslan mengecam muka Siti Nor Asma Zaidi, 17, selepas terbaca mengenai berita kehilangannya dalam surat khabar sebelum menghubungi nombor telefon Fatimah tertera.

Fatimah berkata, dia menerima panggilan  seorang lelaki mendakwa ternampak anaknya makan di sebuah restoran di Gombak sebelum mengesahkannya melalui carian berita online.

“Lelaki itu kata dia ternampak anak akak tapi pada awalnya was-was sebab tak ingat muka...bila dia kata dia belek semula berita dalam telefon untuk mengesahkan wajah Asma.

“Bila dia kata memang itu Asma...akak cukup lega bila dikatakan dia selamat. Kemudian Roslan pun perhatikan anak akak itu yang dikatakan ditemani seorang lelaki dan kemudiannya melihat arah Asma pergi ke tempat lain.

“Lepas terima maklumat, akak tak fikir panjang terus hubungi polis,” katanya yang terharu dengan keprihatinan orang ramai yang mengesan anak perempuannya.

Fatimah berkata, sebelum penemuan itu dia turut menerima panggilan daripada Asma sekitar jam 8.30 malam kelmarin menggunakan nombor telefon lain.

“Masa itu Asma bagi tahu dia selamat dan kakak angkatnya nak bawa dia balik..bila akak tanya dia dimana, dia cakap tak tahu dan minta akak tunggu di rumah saja...masa itu perasaan campur aduk.

“Tapi akak berdoa tak putus-putus supaya Asma selamat...Syukur alhamdulillah ada insan baik seperti Roslan maklum lokasi anak akak,” katanya semalam.

Lebih kurang jam 1 petang semalam Asma selamat tiba di rumahnya di Jalan Permatang Pasir, Kampung Pasir Tuntong selepas dibawa pulang ahli Pertubuhan Islam Gabungan Amal (Pertiga).

Fatimah berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantunya mencari dan mengesan anak ketujuh dari 11 beradik itu.

“Bila nampak muka Asma, hati akak cukup gembira sebab dia selamat. Lepas ini akak akan bawa dia ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor untuk laporan sebelum bawa ke Hospital Tanjong Karang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.