Search This Blog

Wednesday, July 23, 2014

Lebih 160 rumah musnah dilanda ribut


23 Julai 2014


TEMERLOH - Lebih 160 buah rumah, dua dewan orang ramai dan sebuah dewan sekolah mengalami kerosakan dalam kejadian ribut yang melanda beberapa buah kampung di daerah Temerloh, petang semalam.

Dalam kejadian pada 5.30 petang itu, kebanyakan rumah berkenaan tercabut bahagian bumbung dan dinding akibat dilanda ribut kencang yang berlaku selama hampir setengah jam.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Batu Kapor, Kampung Sungai Buluh, Taman Saga dan Tanjung Kerayong, di Mentakab membabitkan 144 buah rumah manakala selebihnya di Kampung Bongsu, Kampung Paya Siput, Batu 7 Lanchang dan Felda Jenderak Utara, Kuala Krau.

Tiga buah dewan yang terlibat ialah Dewan Orang Ramai Kampung Batu Kapor dan Kampung Sungai Buloh serta Dewan Sekolah Kebangsaan Batu Kapor.

Ketua Kampung Batu Kapor Zambri Sulaiman ketika ditemui berkata ia merupakan kejadian ribut yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh 40 tahun. Lebih 1,000 penduduk terjejas akibat ribut berkenaan.

"Walaupun ada kejadian ribut berlaku sebelum ini, namun ia tidak melibatkan kerosakan rumah yang banyak, tetapi kali ini ia agak buruk dengan angin yang kencang serta hujan lebat sehingga 98 buah rumah di Kampung Batu Kapor dan Kampung Sungai Buloh, rosak.

"Kejadian ribut tersebut amat mengerikan kerana ia datang dengan hujan lebat diikuti angin kencang serta awan yang gelap selama hampir setengah jam sehingga merosakkan rumah selain banyak pokok besar tumbang," katanya.

Beliau turut berharap kerajaan dapat menyalurkan bantuan segera kepada mangsa bagi meringankan bebanan lebih-lebih hampir menjelangnnya Aidilfitri.

Sementara itu seorang imam di Batu Kapor Mentakab Mohd Salleh Jarum, 48, berkata, ketika kejadian beliau bersama keluarga sedang berehat dan menonton televisyen sementara menunggu waktu berbuka.

"Ketika itu, hujan turun renyai-renyai sebelum tiba-tiba saya terdengar satu letupan kuat berlaku. Apabila ke dapur, saya dapati bahagian bumbung dapur dan tengah rumah tercabut dilanda ribut.

"Dalam keadaan ribut dan angin yang bertiup kencang itu, saya bersama isteri serta lima anak keluar rumah menyelamatkan diri dan dalam masa sama saya sempat melihat berpuluh-puluh atap rumah jiran turut berterbangan," katanya.

Beliau yang bekerja sendiri menganggarkan kerugian yang dialami lebih RM18,000 termasuk akibat kerosakan perabot rumah, barangan elektrik dan persiapan raya.

Katanya ini merupakan ribut kejadian terburuk sejak tinggal di kampung itu 35 tahun lalu. - Bernama

No comments:

Post a Comment