MASJID TANAH – Masih wujud ladang penternakan babi yang gagal mengikut spesifikasi ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri biarpun pemantauan dilakukan secara kerap pihak berwajib.

Tinjauan di pusat penternakan di Paya Mengkuang, semalam jelas menunjukkan kandang yang menempatkan hampir beribu ekor babi kelihatan begitu usang selain kolam kumbahan menjijikkan.

Tidak hairanlah apabila penduduk sekitar seringkali merungut berlakunya pencemaran cukup teruk khususnya di Sungai Tuang, selain terpaksa menghidu bau busuk gara-gara sikap penternak yang lebih mementingkan keuntungan.

Bagaimanapun, jabatan terlibat sudah menetapkan hanya 48,300 populasi babi dibenarkan diternak yang difahamkan untuk memenuhi pasaran di Melaka, Lembah Klang dan Singapura.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr Azlan Enjah berkata, pihaknya kerap melakukan pemantauan sebagai memastikan bilangan babi tidak melebihi populasi dihadkan.

Menurutnya, menerusi Enakmen Baharu Penternakan Babi yang dijangka akan diwartakan pada tahun depan membolehkan tindakan tegas diambil terhadap penternak yang masih berdegil mematuhi syarat.

“Kita akan perbetulkan sebab sebelum ini tiada satu undang-undang yang kukuh, agak sukar untuk laksanakan penguatkuasaan.

“Saya harap undang-undang diluluskan kerajaan akan dapat dilaksanakan terutamanya kepada ladang-ladang tidak ikut spesifikasi, kita tidak beri lesen dan ladang akhirnya akan diarah tutup,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini jabatan tidak memberikan lesen secara rasmi tetapi penternakan hanya ditetapkan di Paya Mengkuang menerusi pengawasan dan pengetahuan pihak jabatan.