Search This Blog

Friday, July 11, 2014

KPDNKK sahkan YSLM syarikat haram



HASAN Malek bersama Alias Ahmad menunjukkan risalah skim piramid YSLM yang didapati haram kerana tidak berdaftar dengan SSM dalam sidang akhbar sempena majlis Iftar Ramadhan Datuk Seri Hasan Malek Bersama Dewan Undangan Negeri Seri Menanti di Masjid Kariah Galau/Mertang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, kelmarin. - utusan/ASWAD YAHYA
KUALA PILAH 10 Julai - Sebuah syarikat jualan langsung (MLM) iaitu YSLM yang berpangkalan di Pulau Pinang disahkan sebagai syarikat haram kerana tidak berdaftar deng­an Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Selain itu syarikat berkenaan juga tidak mempunyai lesen yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Alias Ahmad memberitahu, syarikat tersebut diasaskan oleh seorang warga China yang mendakwa dia lelaki terkaya di dunia iaitu Zhang Jian, 26.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diterima pihaknya, skim itu mula dikesan dan beroperasi awal tahun ini dan pihak­nya telah menjalankan siasatan terhadap aktiviti berkenaan sejak beberapa bulan lalu.
"Berdasarkan pemerhatian pihak kami syarikat ini menjalankan perniagaan secara dalam talian yang mana mereka yang melabur minimum RM300 akan memperoleh RM2,700 sehingga RM6,000 sebulan tanpa bekerja.
"Hasil maklumat diperoleh, sebanyak RM300 juta wang pelaburan telah dikumpul sejak beroperasi pada awal tahun ini namun kita telah menerima dua aduan kes mengenai perkara itu sejak dua bulan lalu. Kertas siasatan telah diserahkan kepada pihak Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti dan Yayasan Sahabat di Masjid Kariah Kampung Galau dan Mertang, di sini semalam.
Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.
Alias memberitahu, susulan itu pihak­nya telah menyerbu dua syarikat kosmetik CDTUP yang dipercayai mempunyai hubung kait dengan YSLM di Selangor dan Pulau Pinang kelmarin dan hasilnya, beberapa risalah berkaitan MLM berkenaan ditemui.
Kata beliau, golongan sasar bagi syarikat itu adalah bersifat terbuka dan terdiri daripada segenap lapisan masyarakat dengan mengedarkan promosi menerusi penyampaian risalah, papan tanda dan secara dalam talian.
"Mengenai Zhang Jian, kita akan be­kerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk mengesannya sama ada masih berada di Malaysia atau sebaliknya dan dia akan dipanggil untuk memberikan keterangan.
"Kita meminta orang ramai yang tertipu dengan skim ini supaya tampil untuk memberikan maklumat," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140711/je_09/KPDNKK-sahkan-YSLM-syarikat-haram#ixzz376pYhv6K
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment