Search This Blog

Sunday, July 20, 2014

Ketua Geng Didi ditembak mati


TEMERLOH 19 Julai - Polis melumpuhkan kegiatan jenayah Geng Didi selepas menembak mati dua lelaki termasuk ketuanya dalam kejadian berbalas tembak di Jalan Kampung Bangau Tanjung, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, kedua-dua suspek iaitu Mohd. Fahmi Hisham Rahim, 28, atau dikenali dengan panggilan Didi dan Mohd. Shazmier Mohd. Yusof, 24, mati di tempat kejadian selepas terkena beberapa das tembakan.
Seorang lagi rakan jenayah mereka cedera selepas terkena tembakan di betis kanan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, kedua-dua suspek yang maut bersama dua lagi rakan mereka dikatakan meninjau kawasan Kampung Bangau Tanjung untuk melakukan aktiviti samun dengan menaiki sebuah kereta.
Beliau berkata, sepasukan polis yang sedang bertugas kemudian menahan kereta suspek berhampiran Hotel Sri Malaysia selepas didapati dipandu dalam keadaan mencurigakan.
"Semasa pasukan kita memperkenalkan diri secara tiba-tiba salah seorang suspek yang duduk di tempat penumpang belakang melarikan diri sementara suspek yang memandu pula terus merempuh kenderaan polis sebelum memecut hingga memaksa polis terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai tayar kereta berkenaan.
"Selepas mengejar kira-kira satu kilometer akhirnya kereta suspek dapat dipintas dan semasa pasukan polis hendak melakukan pemeriksaan, tiba-tiba terdengar beberapa das tembakan dari dalam kereta dan dalam usaha mempertahankan diri pasukan polis telah membalas tembakan.
"Seorang suspek dilihat cuba melarikan diri dengan keluar dari kereta tetapi berjaya ditangkap dan pemeriksaan di dalam kereta pula mendapati dua suspek yang berada di bahagian hadapan telah mati," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Zakaria Ahmad dan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Annuar Othman.
Tambah Mohmad, pemeriksaan di dalam kereta suspek menemukan sepucuk revolver Smith & Wesson, sebilah parang, sebilah pisau, dua kuku kambing, satu playar, satu pemotong besi dan satu ragum.
Ujar beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang membawa kepada hukuman mati.
"Berdasarkan siasatan, kumpulan yang mula aktif sejak tujuh tahun lalu ini yang mempunyai rangkaian di beberapa buah negeri dengan melakukan jenayah kekerasan.
"Dengan tertumpasnya kumpulan ini, pihak polis berjaya menyelesaikan 10 kes samun dan satu kes cubaan bunuh di Kedah, tiga kes samun di Perak, satu kes cubaan bunuh di Selangor dan satu kes curi kenderaan di Pahang," katanya.
Sementara itu, Mohmad berkata, berdasarkan siasatan, suspek utama iaitu Mohd. Fahmi Hisham yang berasal dari Kluang, Johor mempunyai 12 rekod jenayah, enam rekod dikehendaki serta lima kes dadah manakala, Mohd. Shazmier yang berasal dari Paya Pulai, Temerloh mempunyai empat rekod jenayah dan satu kes dadah.
"Hasil daripada pemeriksaan, kereta suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu yang dilaporkan dicuri di Triang, Bera pada pukul 10 pagi semalam. Pada masa ini polis sedang giat memburu suspek yang terlepas dan juga rangkaian kumpulan ini dan kita sedang berusaha mendapatkan maklumat daripada seorang suspek ditahan yang berasal dari Sungai Petani," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140720/je_01/Ketua-Geng-Didi-ditembak-mati#ixzz37y0jEL4q
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment