Search This Blog

Friday, July 11, 2014

Kerajaan P. Pinang bimbang kejadian ragut di George Town


GEORGE TOWN 10 Julai - Kerajaan negeri bimbang dengan kejadian jenayah terutama ragut di bandar warisan ini walaupun indeks jenayah keseluruhannya dilaporkan menurun sebanyak lapan peratus, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Beliau berkata walaupun Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi menyatakan indeks jenayah menurun lapan peratus bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, namun itu belum memadai.
"Indeks jenayah turun tidak cukup, yang penting rakyat mesti selamat dan berasa selamat. Kerajaan negeri akan bekerja rapat dengan polis untuk mengurangkan jenayah ragut supaya rakyat berasa selamat terutama di kawasan 'hotspot'," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Lim berkata satu kes samun dan dua ragut dilaporkan berlaku dalam tempoh tiga hari di kawasan warisan George Town melibatkan pelancong asing.
Pada 6 Julai lepas, pasangan dari Hong Kong bertembung dengan individu menyamar polis semasa berjalan di persimpangan Lebuh Pantai dan Jalan Penang dan sejumlah RM6,000 wang tunai disamun.
Pada 8 Julai pula, pelancong wanita England diragut di Lebuh Ah Quee pada pukul 2 petang dan satu lagi kes ragut melibatkan warga asing juga di tempat yang sama pada pukul 4 petang.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata Pulau Pinang merekodkan 39 kes curi ragut membabitkan pelancong asing dari tahun 2013 hingga semalam, dengan dua kes terbaru dilapor minggu ini. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140710/je_13/Kerajaan-P-Pinang-bimbang-kejadian-ragut-di-George-Town#ixzz376pt5wKm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment