Search This Blog

Thursday, July 31, 2014

Kemalangan meningkat 50%


MUAR 27 Julai - Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) mencatatkan rekod 31,975 kes kemalangan dengan 539 daripadanya membabitkan kematian bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan kira-kira 50 peratus berbanding 236 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
"Jumlah kemalangan akan meningkat apabila musim perayaan dan langkah-langkah sewajarnya harus dilakukan sebelum perayaan bagi pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan memandu dengan berhemah.
"Untuk itu, pelbagai kempen keselamatan jalan raya diadakan dalam memupuk kesedaran kepada semua pengguna jalan raya dan selalu dipertingkatkan menjelang musim perayaan," katanya semasa merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Ke-16, di sini hari ini.
Beliau berkata, statistik kemalangan daripada pihak polis di negeri ini tahun lalu adalah 64,600 kes dan daripada jumlah itu, 1,133 membabitkan kematian dengan 1,046 mati serta-merta di tempat kejadian.
Siew Kiong berkata, antara faktor menyumbang terhadap statistik tersebut adalah sikap pengguna selain keadaan persekitaran sesak serta kenderaan yang bermasalah.
"Apa yang kita boleh lakukan untuk mengelakkan kemalangan adalah setiap pengguna mesti bertolak ansur, mengamalkan pemanduan berhemah dan sentiasa mengamalkan sikap yang baik ketika berada di jalan raya," katanya.
Menurutnya, usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya tidak seharus dipikul 100 peratus oleh kerajaan kerana perkara berkenaan memerlukan kerjasama semua pihak kerana semuanya mempunyai peranan dan tanggungjawab.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap pihak korporat dan syarikat swasta mengambil bahagian dalam kempen keselamatan jalan raya dengan menganjurkan program mereka sendiri bagi melahirkan kesedaran pengguna.
"Saya berharap sempena musim perayaan ini semua pengguna jalan raya supaya lebih tanggungjawab dan berhati-hati ketika pulang ke kampung masing-masing supaya selamat bertemu keluarga tersayang," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140728/je_07/Kemalangan-meningkat-50#ixzz38zyIHnN5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment