• Keadaan mangsa yang tercampak di atas jalan. Gambar kecil: Aiman Zamir.Keadaan mangsa yang tercampak di atas jalan. Gambar kecil: Aiman Zamir.

REMBAU – “Semasa menghubungi talian kecemasan untuk memaklumkan terdapat kemalangan sebuah lagi lori gagal mengelak lalu merempuh lori yang melanggar lori kami,” kata kelindan lori kasut, Chai Yok Lai, 67, ketika ditemui di lokasi kemalangan di kilometer 230, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah Selatan, berhampiran susur masuk hentian rehat Pedas, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, seorang kelindan lori muatan Unifi, Aiman Zamir Aminulah, 18, maut akibat tercampak ke atas jalan, manakala dua lagi pemandu lori cedera dan dikejarkan ke hospital terdekat bagi rawatan lanjut.

Menurut Yok Lai, ketika kejadian, dia yang sedang tidur terkejut sebaik mendengar bunyi dentuman kuat dan sebaik pemandu lori, Fang Siong, 77, memberhentikan lori di lorong kecemasan, mereka turun bagi melihat bahagian belakang lori yang dilanggar oleh lori lain.

“Dalam masa sama, saya terus menghubungi talian kecemasan dan tiba-tiba sebuah lagi lori merempuh lori muatan besi yang melanggar bahagian belakang lori kami.

“Selepas itu, lori yang baru merempuh lori besi terbalik dan terdapat mangsa yang tercampak ke atas jalan,” katanya.

Abang kepada pemandu lori muatan Unifi, Asrul Jasmi, 29, berkata, dia menerima panggilan daripada adiknya, Mohd Azri, 27, yang menyatakan dia terbabit dalam kemalangan dan kelindannya maut.

Menurutnya, ketika dihubungi dia juga dalam perjalanan menuju ke Melaka menghantar muatan sama dan baru sahaja melalui persimpangan susur keluar Pedas-Linggi.

“Jika diikutkan adik saya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Baharu. Saya bergegas ke lokasi dan sebaik tiba saya lihat sudah terdapat mayat di atas jalan, sementara adik saya pula cedera di bahagian kepala.

“Adik saya dan seorang lagi pemandu lori dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif berkata, kejadian itu membabitkan tiga lori.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, lori yang membawa muatan kasut dilanggar di bahagian belakang oleh lori muatan besi. Dalam masa yang sama datang sebuah lori muatan Unifi gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang lori muatan besi berkenaan.

“Kelindan lori muatan Unifi maut di lokasi kejadian akibat tercampak dan mayatnya dihantar ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat," katanya.