• Che Mat menunjukkan kabel utama di menara itu yang dipercayai dipotong oleh penagih dadah untuk dijual.Che Mat menunjukkan kabel utama di menara itu yang dipercayai dipotong oleh penagih dadah untuk dijual.

GUA MUSANG - Kecurian kabel di menara sebuah syarikat telekomunikasi sejak Isnin lalu menyebabkan seramai 250 keluarga peneroka di Tanah Rancangan Felda Perasu, di sini terputus hubungan dengan kawasan luar.

Kegiatan dipercayai berlaku pada jam 2 petang apabila penduduk terserempak dua lelaki berusia sekitar 20-an dipercayai penagih dadah ketika keluar dari kawasan menara dengan membawa dawai yang sudah siap diproses.

Tinjauan Sinar Harian juga mendapati beberapa kabel utama di menara terbabit dipotong, selain berselerak di sekitar kawasan tersebut, manakala pintu pagar kawasan menara terbuka dipercayai diumpil.

Seorang peneroka, Mat Zain Hassan, 63 memaklumkan, sebelum ini kawasan menara itu telah beberapa kali menjadi sasaran penagih dadah untuk kegiatan mencuri kabel.

Menurutnya, kejadian kali ini dipercayai lebih teruk berbanding sebelum ini apabila talian telefon mudah alih terputus terus.

"Perkara itu disedari beberapa peneroka apabila talian telefon mudah alih mereka terputus secara tiba-tiba sebelum bergegas ke kawasan menara untuk melihat apa yang terjadi.

"Sebaik tiba di kawasan menara, penduduk terserempak dua lelaki terbabit yang baru keluar melalui pagar menara dengan membawa dawai siap diproses untuk dijual," katanya.

Mat Zain mengakui penduduk agak takut untuk menahan kedua-dua lelaki terbabit kerana bimbang terpaksa berdepan dengan kejadian tidak diingini, tambahan kedua-dua lelaki itu membawa senjata tajam.

"Kami harap pihak pengurusan Celcom dapat datang membaiki kabel serta kerosakan di menara itu agar peneroka tidak menghadapi masalah untuk menghubungi keluarga di luar tanah rancangan ini," katanya.

Sementara itu, Che Mat Harun, 60 berkata, peneroka tanah rancangan itu memang mengenali dua lelaki terbabit tetapi tidak mahu bertindak kerana pernah menerima ugutan daripada keluarga mereka sebelum ini agar jangan mengganggu mereka.

Che Mat berharap agar agar talian Celcom tidak mengalami nasib sama seperti talian tetap disediakan Telekom Malaysia yang sudah lama tidak berfungsi kerana semua kabel dicuri tanpa ada pemasangan baharu sejak lima tahun lalu.