Search This Blog

Thursday, July 31, 2014

Kebakaran hutan di Riau, Kalimantan Barat sukar dikawal


Gambar fail tidak bertarikh, merakamkan pemandangan udara menunjukkan kebakaran di kawasan pertanian di Rokan Hilir, Bengkalis di wilayah Riau, Pulau Sumatera. - AFP
JAKARTA 30 Julai - Kebakaran hutan di wilayah Riau dan Kalimantan Barat di Indonesia semakin buruk dan tidak terkawal, sekali gus mengundang ancaman jerebu yang berpanjangan ke negara jiran terutamanya Malaysia dan Singapura.
Agensi berita Antara memetik kenyataan jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Alam Nasional (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho sebagai berkata, imej satelit yang dirakamkan semalam menunjukkan 143 kebakaran berlaku di Riau dan 268 lagi di Kalimantan Barat.
Menurut Sutopo, kebakaran hutan dan belukar di Riau setakat ini telah memusnahkan kawasan seluas kira-kira 848 hektar dan jumlah tersebut dijangka bertambah kerana masih terdapat maklumat kebakaran yang tidak dikira.
Memetik data rasmi yang dikumpulkan BNPB, Sutopo berkata, pecahan kebakaran yang direkodkan di Riau meliputi 46 kes di Rohil, Bengkalis (24), Dumai (35), Indragiri Hilir (6), Indragiri Hulu (3), Kampar (2), Kuansing (7) dan Pelalawan (10).
Di Kalimantan pula katanya, sebanyak 15 kes kebakaran berlaku di Bengkayang dan Kubu Raya, Kapuas (25), Kayong Utar (7), Ketapang (19), Landak dan Melawi (8), Pontianak (19), Sambas (65), Sekadau (5), Singkawang (2) dan Sintang (47).
"BNPB telah meminta pihak pentadbiran di wilayah terlibat untuk lebih aktif mengekang kebakaran hutan dan belukar.
"Langkah mencegah bencana itu lebih berkesan berbanding memadamkan api terutamanya di kawasan tanah gambut," katanya.
Sementara itu, Pengarah BNPB, Syamsul Maarif telah mengarahkan penggunaan helikopter di Pontianak untuk memadamkan kebakaran selain penglibatan sukarelawan.
"Di Riau sahaja, seramai 200 anggota tentera daripada unit tentera darat dan tentera udara serta 500 anggota polis dihantar untuk memadamkan kebakaran," katanya.
Hampir setiap tahun, masalah kebakaran hutan dan belukar di dua wilayah terbabit menyebabkan jerebu yang turut menjejaskan kualiti udara di negara berjiran termasuk Malaysia dan Singapura.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140731/lu_03/Kebakaran-hutan-di-Riau-Kalimantan-Barat-sukar-dikawal#ixzz38zcGEN9x
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment