Search This Blog

Thursday, July 31, 2014

Kakak bimbang adik tidak pulang


LOH Sook Fun (kanan) memegang gambar adik, Loh Kai Choong manakala Lew Lee Ying (kiri) menunjukkan gambar suami serta anaknya, Tan Cho Yaw dan Kenny Tan Yaw Wee semasa sidang akhbar di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR
KUALA LUMPUR 30 Julai - Seorang wanita melahirkan rasa bimbang setelah adik lelakinya yang bekerja sebagai juruwang tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi sejak enam bulan lalu.
Loh Kai Choong, 34, tidak pulang ke rumahnya selepas pergi ke tempat kerjanya di Kuantan, Pahang pada September tahun lalu.
Kakaknya, Loh Sook Fun, 39, berkata, adiknya itu memberitahu yang dia mahu ke Kuantan untuk menyelesaikan urusan kerjanya di sana dengan memandu sebuah kereta jenis Wira Aeroback bernombor pendaftaran WLK 1211.
"Sejak keluar bekerja pada hari tersebut, dia terus tidak pulang ke rumah dan usaha menghubunginya melalui telefon bimbit juga gagal," katanya dalam sidang akhbar di pejabat Biro Pengaduan dan Perkhid­matan Awam MCA di sini hari ini.
Sook Fun juga telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dekat sini berhubung kehilangan adik lelakinya pada 21 Jun lalu.
Sehubungan itu, beliau berharap mereka yang mempunyai sebarang maklumat mengenai adiknya itu supaya menghubungi Biro Aduan Awam MCA di talian 03-2203 3888.
Dalam pada itu, seorang lagi wanita merayu suaminya yang telah menghilangkan diri bersama anak lelakinya sejak lapan bulan lalu supaya pulang ke pangkuan keluarga.
Wanita itu, Lew Lee Ying, 34, amat berharap suaminya, Tan Cho Yaw dapat kembali semula kerana terlalu merindui anak lelakinya, Kenny Tan Yaw Wee yang berusia 11 tahun.
Lee Ying yang menetap di Kluang, Johor memberitahu, suami­nya tidak pulang ke rumah sejak menghantarnya ke rumah abang­nya di Seremban, Negeri Sembilan dengan alasan mahu pulang ke kampung di Singapura untuk berjumpa ibu bapanya.
"Sehingga kini, saya masih bingung kenapa suami bertindak sedemikian sedangkan kami langsung tidak bergaduh atau berselisih faham sebelum itu.
"Saya harap dia segera pulang kerana saya terlalu rindukan anak lelaki kami," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140731/je_06/Kakak-bimbang-adik-tidak-pulang#ixzz38zdXMnsY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment