• Mek Fatimah menunjukkan kad OKU dan kad pengenalan milik Mohamad Safri (gambar kecil).Mek Fatimah menunjukkan kad OKU dan kad pengenalan milik Mohamad Safri (gambar kecil).

TUMPAT - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) hilang sejak dua minggu lalu, dipercayai sesat di sekitar pekan ini selepas keluar dari rumah dengan mengayuh basikal untuk ke kedai di Kampung Tanjung Kuala, di sini.

Mohamad Safri Mohamed Nor, 45, merupakan OKU sakit mental, dilaporkan hilang sejak 17 Jun lalu.

Kakaknya, Mek Fatimah, 51, berkata, dia percaya adiknya sesat apabila jirannya ternampak Mohamad Safri  mengayuh basikal pada jam 7 malam di jalan utama di Kampung Air Dingin, kira-kira lima kilometer dari rumahnya.

“Saya syak adik tidak menemui jalan pulang selepas ke kedai berdekatan rumah kami.

“Saya bimbangkan keselamatannya kerana dia ada penyakit mental dan perlu makan ubat setiap hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Kuala, semalam.

Mohamad Safri pernah hilang empat tahun lalu tetapi berjaya ditemui semula selepas kehilangannya disiarkan Sinar Harian.

Mek Fatimah berkata, kebiasaannya jika adiknya hilang hanya semalaman dan akan pulang ke rumah selepas itu.
“Sudah merata tempat saya mencari Mohamad Safri tetapi gagal menemuinya. Kehilangannya membuatkan saya rasa bersalah kerana arwah emak amanahkan saya untuk menjaganya dengan baik.

“Dengan keadaannya yang tidak sempurna, macam-macam boleh berlaku terhadapnya, lebih-lebih lagi dia tidak membawa kad pengenalan diri dan wang,” katanya.

Menurutnya, laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Mohamad Safri agar menghubungi talian 013-9882119.

“Ketika keluar rumah, adik saya memakai baju berwarna biru, berseluar panjang dan bertopi. Basikalnya pula  berwarna kuning.

"Saya merayu orang ramai dapat menyalurkan maklumat sekiranya menemui Mohamad Safri yang hilang sejak dua minggu lalu kerana saya amat bimbangkan keselamatannya," katanya.