Search This Blog

Friday, July 11, 2014

Jerman kesan pengintip kedua AS


YASMIN Fahimi
BERLIN 10 Julai - Seorang ahli politik terkemuka Jerman menyuarakan kemarahan terhadap Washington selepas seorang suspek yang bekerja di Kementerian Pertahanan Jerman disyaki menjadi perisik Amerika Syarikat (AS), seminggu selepas penahanan seorang petugas agensi perisikan luar Jerman, yang disyaki menjadi pemberi maklumat kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Setiausaha Agung Parti Demokrat Sosial (SPD), Yasmin Fahimi yang merupakan sekutu Parti Konservatif pimpinan Canselor Jerman, Angela Merkel, menggesa Washington memanggil pulang staf Kedutaan AS yang terlibat dan menghentikan perbuatan merisik sekutunya.
Kes terbaharu itu, sekali gus memberi tekanan kepada Merkel untuk bertindak ke atas AS selepas beliau menyifatkan penahanan suspek pertama perisik AS pada minggu lalu sebagai kes serius jika didapati bersalah tetapi akhbar tempatan Sueddeutsche Zeitung mendakwa kes kedua lebih serius.
Dalam pada itu, sumber keselamatan berkata, suspek terbaharu tersebut mempunyai latar belakang ketenteraan dan bekerja di Kementerian Pertahanan di Berlin, tetapi tiada tangkapan dilakukan buat masa ini.
Satu lagi sumber mendakwa suspek merupakan pegawai Kementerian Luar Jerman yang ditugaskan di Kementerian Pertahanan.
Menteri Pertahanan Ursula von der Leyen berkata, pihaknya masih belum mengenal pasti suspek terlibat, namun siasatan telah dijalankan di kementerian berkenaan untuk mengesan pelaku tersebut.
Minggu lalu, seorang ejen agensi perisikan luar Jerman atau BND yang ditahan mengaku menyerahkan maklumat siasatan jawatankuasa Parlimen terhadap kenyataan bekas kontraktor perisikan AS, Edward Snowden tentang aktiviti pengintipan Washington di negara ini kepada ejen CIA.
Bagaimanapun CIA dan agensi kerajaan AS enggan mengulas tentang kedua-dua kes berkenaan. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140711/lu_12/Jerman-kesan-pengintip-kedua-AS#ixzz376mEIRzf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment