Search This Blog

Tuesday, July 15, 2014

Isteri harap suami bebas sebelum Aidilfitri


SHARIFAH mengharapkan suaminya Zakia (gambar kecil) dibebaskan sebelum Aidilfitri.


SEMPORNA - "Saya sangat berharap suami dapat pulang untuk sambut Aidilfitri bersama kami."
Demikian harapan Sharifah Erna Benson, 23, isteri kepada Konstabel Zakia Aleip, yang hilang selepas diculik kumpulan pengganas Sulu dalam serang hendap di Mabul Water Bungalows Resort di Pulau Mabul di sini Sabtu lalu.
Sharifah berkata, kehadiran Hari Raya Aidilfitri tahun ini begitu dinantikan kerana ia merupakan yang pertama akan disambut bersama anak sulung mereka, Muhammad Hisham yang berusia empat bulan.
"Saya hanya mahu suami saya selamat walau di mana dia berada dan dalam tempoh dua minggu ini saya mahu dia dibebaskan oleh kumpulan penculik dan pulang berhari raya bersama kami," kata Sharifah ketika dihubungi di sini semalam.
Cerita wanita itu, sebelum kejadian, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan melainkan hanya tergesa-gesa untuk ke Pulau Mabul bersama rakan sekerja pada Jumaat lalu.
"Suami sempat berpesan agar saya jaga diri dan jaga anak dengan baik. Saya akan tunaikan permintaan suami saya itu dengan sebaiknya," katanya sedih.
Ditanya mengenai panggilan telefon suaminya, Sharifah enggan mengulas mengenai perkara itu.
"Saya cuma mahu dia (suami) pulang dan bersama kami," jelasnya yang akan pulang semula ke kampung halamannya di Kota Kinabalu lewat petang semalam.
Sementara itu, jenazah Allahyarham Koperal Ab. Rajah Jamuan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bubul, Batu 3.5 di sini semalam.

SALAMAH menaburkan bunga ke atas pusara arwah suaminya, Ab. Rajah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bubul, Batu 3.5, Semporna semalam.


Jenazah Allahyarham sebelum itu disembahyangkan di rumah keluarganya di Kampung Bubul, Batu 2 kira-kira pukul 9 pagi sebelum kerandanya dibaluti Jalur Gemilang dan diusung sepasukan anggota polis marin.
Pengebumian yang bermula pukul 9.35 pagi itu disempurnakan dengan penuh istiadat kepolisan sebagai menghargai keberanian dan keperwiraan Allahyarham ketika berbalas tembakan dengan pengganas Sulu.
Ibu Allahyarham, Kamsiah Indnan, 59, gagal mengawal emosi dan pengsan sebaik melihat jenazah anak kesayangannya itu dikebumikan sehingga terpaksa dipapah ketika jenazah Ab. Rajah dimasukkan ke dalam liang lahad.
Isteri Allahyarham, Salamah Amad, 26, kelihatan tenang sepanjang pengebumian jenazah suaminya. Selepas selesai pengebumian tersebut, Salamah menerima Jalur Gemilang daripada Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0715&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz37UIEmgbo 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment