Search This Blog

Friday, July 11, 2014

Ikut sampai hujung nyawa


Kuala Pilah: “Kakak meminta saya membeli baju rayanya awal dan kelihatan bersungguh-sungguh. Saya menuruti permintaannya itu dengan membeli baju raya untuk dipakai kami sekeluarga, minggu lalu.
“Kebiasaannya setiap tahun, kami membeli baju raya pada minggu terakhir puasa sebelum sambutan Aidilfitri,” luah Rozita Zakariya, 37, ibu kepada Nor Suhaila Mohd Azizlan,12, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 19.5 Jalan Kuala Pilah-Tampin berhampiran Simpang Rumah Rakyat Kuala Johol, dekat sini, pagi semalam. 
Kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu turut mengorbankan bapa saudara mangsa, Aman Shah Zakariya, 33, manakala anak lelaki Aman Shah iaitu Mohd Shahrul Iqwan, 6, cedera di kepala dan kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban. 

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, sebuah treler membawa muatan kelapa sawit dari arah Tampin dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal yang berhenti untuk masuk ke simpang kanan jalan menyebabkan berlaku pergeseran.
Foto
ANGGOTA Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas kereta Perodua Viva yang dipandunya merempuh lori muatan sawit di Kilometer 19.5 jalan Kuala Pilah-Tampin.

Pemandu treler hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Perodua Viva dinaiki ketiga-tiga mangsa menyebabkan dua daripada mereka maut di tempat kejadian.

Rozita berkata, kali terakhir dia dan suaminya Mohd Azizlan Zahari, 38, bertemu mereka kira-kira jam 2 petang kelmarin selepas adik lelakinya, Aman Shah yang tinggal bersama keluarganya mengajak Suhaila untuk pulang ke kampung di FELDA Palong 1, dekat sini, untuk berbuka puasa. 

“Arwah memang kerap ke rumah nenek dan datuknya, tetapi semalam dia bersungguh-sungguh mahu mengikut pak ciknya, Aman Shah. Adik lelaki saya ada memberitahu mereka akan pulang hari ini (semalam), selepas sahur,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah, di sini, semalam. 

Menurutnya, dia menerima berita kemalangan itu kira-kira jam 7.40 pagi semalam daripada salah seorang jiran yang menghubunginya sebelum bergegas ke tempat kejadian. 


Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/11

No comments:

Post a Comment