Search This Blog

Wednesday, July 23, 2014

Ibu ditemui mati dibunuh


KOTA TINGGI 22 Julai - Luluh hati sebuah keluarga apabila hasrat mereka untuk berhari-raya bersama insan tersayang tidak kesampaian selepas ibu mereka ditemui mati dibunuh dipercayai disamun oleh sekumpulan lelaki di rumahnya di Felda Lok Heng Barat dekat sini malam tadi.
Jariah Abu Bakar, 62, ditemui keluarga anaknya dalam keadaan tertiarap di ruang tamu rumah sebaik sahaja mereka sampai dari Kuala Lumpur, kira-kira pukul 11 malam, untuk bercuti Hari Raya bersama mangsa.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Rahmat Othman berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya menangkap lima suspek berusia antara 15 hingga 28 tahun termasuk sepasang suami isteri di beberapa lokasi berhampiran dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas kejadian.
"Suspek utama kes itu adalah seorang remaja berusia 15 tahun dan tidak bersekolah serta merupakan seorang penganggur. Hasil penahanan itu, kita menemukan barang mangsa yang dicuri iaitu dua telefon bimbit serta seutas rantai emas," katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan suspek memasuki rumah mangsa menerusi bumbung.
"Mangsa yang menyedari kehadiran suspek telah menjerit, namun warga emas itu telah dipukul dengan sebatang kayu di bahagian kepala," katanya.
Katanya, kesemua suspek direman selama seminggu bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, mangsa yang mempunyai tiga orang anak tinggal bersendirian di rumah tersebut. Anak mangsa bagaimanapun enggan ditemubual kerana dalam kesedihan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140723/je_04/Ibu-ditemui-mati-dibunuh#ixzz38F1hdXXY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment